In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20060902

Mari Membajet Lagi...

asSalamualaikum...

Ramai yang sudah memberi komentar-komentar sendiri akan Bajet 2007 yang dibentangkan di Parlimen oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sememangnya ada yang akan bersorak apabila mendengar berita yang menggembirakan mereka, di dalam Bajet 2007, namun tetap adanya suara-suara suram yang sedih, marah, kecewa kerana Bajet 2007 tidak memberi apa-apa erti kepada mereka, sebaliknya menyusahkan mereka.

Isu Akademik

Berita baik buat semua pelajar dan juga ibu bapa, yuran UPSR, PMR, SPM dan STPM akan dibatalkan bermula tahun 2007. Ingat lagi penulis ketika menanda subjek-subjek untuk diambil ketika membuat subject confirmation untuk SPM. Satu kertas yang diambil perlu dibayar RM10 agaknya, penulis pun tidak pasti lagi. Namun apa yang pasti ialah setiap kertas perlu dibayar asing-asing, bukannya seorang pelajar perlu membayar RM15 sahaja untuk semua kertas yang diambil, contohnya.

Begitu juga berita baik buat pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, di mana mereka akan diberi elaun sebanyak RM50-70 sebulan. Namun begitu, prasangka buruk penulis merasakan mungkin adanya penyalahgunaan duit oleh pelajar-pelajar ini, di mana mereka akan menghabiskan duit mereka ke arah lain.

Bonus
Saban tahun benda yang sama berulang kembali. Bonus, bonus dan bonus. Memang, bonus ini tidak dinafikan antara teknik yang bagus untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik mengorak langkah di dalam alaf siber yang memerlukan kepada duit sebagai salah satu keperluan hidup.

Namun begitu, bonus tidaklah seberapa sangat. Alasannya mudah. Bonus akan memberi bantuan kepada sesetengah golongan tidak bernasib baik sahaja. Contohnya, nilai RM750 berbeza di tempat-tempat yang lain. Contohnya, pekerja am di Kuala Lumpur dan pekerja am di Kuala Terengganu akan merasa perbezaan besar nilai RM750 tersebut. Hal ini kerana penggunaan wang pada kadar sebulan berbeza di setiap tempat. Pekerja am yang bekerja dan bermastautin di ibu kota metropolitan akan menggunakan lebih banyak duit berbanding pekerja am yang bekerja dan bermastautin di bandar, pekan dan sebagainya.

Mungkin cara terbaik sebenarnya ialah dengan kenaikan gaji seperti yang dikatakan oleh pihak Cuepacs, dan juga kadar maksimum bagi kenaikan gaji berbeza bagi tempat-tempat yang berlainan.

Duti eksais arak

Perkara ini menimbulkan sedikit keraguan. Mengapa agaknya duti eksais arak dinaikkan sebanyak RM5.00 seliter hanya bagi arak yang mengandungi alkohol melebihi 40% ? Mengapa tidak duti eksais arak dinaikkan sebanyak RM5.00 seliter bagi setiap arak yang mempunyai hatta 0.01% alkohol sekalipun? Adakah negara Islam Hadhari ingin menggalakkan arak dengan syarat kuantiti alkohol di dalamnya haruslah tidak melebihi 40%?

Lain-lain

Perkara-perkara yang lain seperti pengurangan cukai dan sebagainya membawa erti yang besar kepada penduduk Malaysia secara amnya. Namun begitu, penulis masih lagi menanti akan berita-berita seperti penurunan harga minyak, penurunan harga barang.

No comments: