PM syor tubuh badan zakat Asia Tenggara
KUALA LUMPUR 14 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan sebuah badan zakat peringkat rantau Asia Tenggara ditubuhkan supaya institusi zakat dapat memainkan peranan memartabatkan kecemerlangan ummah.
Beliau berkata, badan serantau itu boleh memperkenalkan mekanisme bagi menggarap sinergi zakat di kalangan negara-negara Asia Tenggara.
``Melalui wadah itu dapat dijalinkan permuafakatan yang mampu menangani isu-isu zakat kontemporari secara menyeluruh dengan mengambil kira sensitiviti negara-negara anggota,'' katanya semasa merasmikan Persidangan Zakat Asia Tenggara 2006, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.
Perdana Menteri berkata, perkembangan institusi zakat serantau perlu mengambil pendekatan global bagi memperkasa dan memantapkan pengurusan dana zakat.
Institusi-institusi zakat serantau berpotensi memainkan peranan lebih berkesan dalam mengangkat agama Islam, katanya.
Beliau turut mencadangkan satu sistem pemantauan diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan keyakinan pembayar zakat agar dana zakat dapat sampai terus kepada golongan sasaran.
``Satu mekanisme pemantauan zakat perlu diperkenalkan untuk memastikan pelaksanaan kutipan dan agihan dijalankan dengan cekap dan telus yang menepati syariat Islam.
``Satu kajian bagi meningkatkan sistem penyampaian zakat perlu dilaksanakan bagi memberi perkhidmatan berkesan serta memuaskan kehendak pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan,'' katanya.
(Teks penuh di Utusan Malaysia Online)
Komen Carbonytte :
asSalamualaikum. Bagus juga. Dengan adanya Zakat Asia Tenggara, maka akan berkuranganlah jumlah penduduk miskin di Asia Tenggara. Akan tetapi, timbul beberapa persoalan :
1) Andai kata badan ini ditubuhkan, siapa yang akan mengelolanya? Hal ini kerana Malaysia sendiri merupakan antara negara yang mempunyai kadar korupsi yang tinggi.
2) Andai kata badan ini ditubuhkan, kenapa Asia Tenggara dan bukan OIC ? Hal ini kerana negara-negara OIC terdiri daripada "negara-negara Islam" maka semua negara akan bayar zakat. Asia Tenggara bukannya zon Negara Islam sepenuhnya. Kalau negara-negara OIC bayar zakat, sekurang-kurangnya zakat tersebut dapat digunakan oleh negara Islam yang miskin dan memerlukan duit, terutamanya Tanah Palestina tercinta.
3) Andai kata badan ini ditubuhkan, bagaimanakah Malaysia hendak mengeluarkan zakat? Hal ini kerana seperti sedia maklum, hatta PETRONAS sendiri tidak membayar zakat. Adakah Malaysia akan menggunakan harta terkumpul dari PETRONAS untuk membayar zakat.
Mengharapkan yang terbaik untuk umat Islam tercinta,
Carbonytte
No comments:
Post a Comment