In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20060312

.: Salahudin Ayub menjawab : Isu tudung bagi pelajar Islam :.

Islam Hadhari 'retorik politik, tiada arahan bertudung bagi pelajar Islam

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Hrkh) – Menteri Pelajaran, Dato’ Hishammuddin Hussein disifatkan 'menoleh kembali ke belakang', hipokrit dan tidak mewujudkan suasana untuk membolehkan jaminan kesopanan terutamanya melibatkan pelajar beragama Islam serta menjadikan slogan Islam Hadhari sebagai retorik politik semata-mata.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata demikian, apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno bahawa kerajaan tidak pernah mengarah sekolah-sekolah mengenakan pemakaian tudung kepada murid perempuan Islam.

“Saya kesal kenyataan Hishamuddin itu dan ke mana arah tuju beliau dalam menerapkan slogan yang diperjuang pimpinan Umno melalui konsep Islam hadhari.

“Adakah pelaksanaannya tidak boleh dilaksanakan di peringkat kementerian dan di sekolah-sekolah?” tanyanya dalam satu sidang media di Markas PAS, Taman Melewar, dekat sini, hari ini.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan berkata, pelajar perempuan tidak diwajibkan memakai tudung ke sekolah dan katanya tudung bukan sebahagian pakaian sekolah kerana kementeriannya tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut.

Salahuddin berkata, kenyataan Hishammudin itu betapa hipokritnya beliau dan ini menggambarkan mereka menjadikan slogan Islam Hadhari sebagai satu retorik politik.

Beliau berkata, walaupun Hishammudin menyatakan bahawa kementeriannya tiada arahan tetapi amalan pemakaian tudung adalah sangat baik malah amalan tersebut berjalan dengan baik di kalangan pelajar.

“Biarlah perkara itu menjadi satu amalan tanpa diganggu lagi dan kita gembira mereka bertudung terutamanya pelajar sekolah menengah,” katanya.

Katanya, fenomena baik ini sepatutnya sudah lama bermula namun Hishammuddin pula katanya, mahu melangkah ke belakang.

Isu ini pula berlaku dalam era beliau dan juga semasa Islam Hadhari dilaksanakan.

“Adakah ini corak Islam Hadhari yang diterapkan Umno dan sesuatu yang sudah serasi dan cantik itu mahu diubah kepada yang mungkin tidak baik dan tidak mustahil pelajar yang bertudung nanti akan menanggalkan tudung kelak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mencabar Pemuda Umno berdebat secara terbuka mengenai kenaikan harga minyak.

Ini katanya sebagai dimandatkan oleh Exco Pemuda PAS, beliau telah mempunyai bukti kukuh bahawa kenaikan harga minyak membeban rakyat.

“Berdasarkan beberapa kajian yang kami buat dan juga maklum balas orang ramai kenaikan kali ini paling buruk yang telah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka dan ia ternyata menyusahkan rakyat,” katanya lagi.

(Sumber : Harakah Daily)

Komen Sang Carbonytte :

Sepertimana yang ditulis oleh editor di dalam blog versi Inggeris, editor mengambil firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara sepenuhnya(dengan meninggalkan segala laranganNya), dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya (jejak langkah syaitan itu) adalah musuh yang nyata" [Al-Baqarah:208]

Pihak kerajaan yang dengan selambanya mengatakan bahawa negara Malaysia ini adalah sebuah negara Islam. ISLAM HADHARI !!! Maju sangat Islam itu sehinggakan hal agama dan hal disiplin sekolah diasingkan. Mana mungkin hal ini berlaku sekiranya negara kita mengamalkan Islam. Jika kita mengaku negara kita sebagai negara Islam, maka Islam itu harus diambil secara 'complete','total',penuh, bukannya 'partial','a portion',sesetengah bahagian sahaja. Kalau kerajaan boleh melaksanakan ekonomi perbankan Islam, undang-undang keluarga Islam, mengapa tidak hukum tudung? Mengapa tidak hukum hudud,qisas,taazir? Mengapa perlu hanya mengambil part-part yang berkepentingan sahaja, dan yang lain itu dibuang?

Ingat, Islam ini bukannya pisang, ambil isinya, kulitnya dibuang. Kerajaan mengambil isi-isi seperti isu perbankan dan sebagainya, sedangkan kulit Islam sendiri, ya'ni perundangan Islam, kulit yang kalau diambil sebagai 'core' dalam pentadbiran kerajaan, akan dapat menghasilkan sebuah negara Islam yang syumul. Namun, itulah yang berlaku apabila kerajaan menjaga seberat-beratnya dahan-dahan Islam yang kecil. Akan tetapi, hanya dahan dan ranting sahaja yang dijaga, sedang akar, pohon Islam itu sendiri ditebang. Padanlah begitu banyak sekali bala yang Allah timpakan terhadap Islam.

Adakah dengan pemakaian tudung seseorang itu dianggap oppresive ? Adakah itu yang bermain di buah aqal kerajaan? Adakah pemakaian tudung itu tidak wajib, hanya kerana anak-anak menteri tak suka pakai tudung? Siapa kamu, hanya manusia yang mentadbir di muka bumi Allah yang fana' ini, sedangkan di akhirat sana ada lagi satu kehidupan yang kekal abadi, yang adil dan saksama, diperintah oleh Allah s.w.t yang Maha Kuasa, Maha Adil.

Ingat, ambil Islam secara penuh. Jangan mendiskriminasikan Islam itu lagi. Jangan meng'anak-tiri'kan Islam itu lagi.WaLlahua`lam.

No comments: