In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20060309

:: Asrisme dan Hizbut Tahrir: Fenomena dakwah IPT ::

Oleh: Maszlee Malik

Pada penghujung tahun 2005, Uthman el-Muhammady telah mengejutkan rakyat Malaysia dengan kenyataan akhbarnya berkaitan gejala "Wahabi". Fahaman yang dianggap oleh beliau sebagai bersalahan dengan faham Ahli Sunnah Wal Jamaah, telah merebak di seluruh IPT dan juga di kalangan para profesional (Lihat: Utusan Minggu, 27 November 2005). Ada sudut kebenaran dan ada sudut kesalahan di dalam kenyataannya. Cuma yang menarik perhatian ialah sudut kebenaran dari kenyataannya ialah mengenai tersebarnya fahaman ini di kalangan para pelajar IPT dan juga para profesional.

Persoalannya, mengapa? Mengapa ianya tidak pula menjadi begitu popular di kalangan golongan yang berpendidikan rendah dan juga di kalangan orang-orang kebanyakan? Hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun yang mengikuti isu ini, hatta oleh Uthman el-Muhammady sendiri pun, ialah fahaman ini boleh diterima oleh golongan yang berfikir. Hanya mereka yang berfikir dan mengkaji sahaja, seperti para pelajar IPT dan profesional mampu menerima fahaman ini, adapun mereka yang malas berfikir dan hanya sekadar suka untuk mengikut secara membuta tuli tidak akan dapat menerima fahaman tersebut.

Sudut yang menarik juga dari kenyataan tersebut ialah mengenai para pelajar IPT yang menerima fahaman ini. Mungkin kerana beliau dihantui oleh fahaman ini, maka analisisnya mengenai "trend" mahasiswa Islam ini agak tidak terlalu tepat. Adakah benar faham "Wahabi" yang diikuti oleh para mahasiswa Islam di IPT-IPT ataupun ianya hanya salah satu trend yang ada di IPT di antara banyak trend-trend yang lain? Atau, adakah benar yang dikatakan faham "Wahabi" itu tersebar?

Sejarah gerakan pelajar Islam

Gerakan pelajar Islam di IPT-IPT Malaysia mula berkembang sebagai satu fenomena di penghujung 60'an dan di awal 70'an. Arus Islam pada waktu itu bersaing hebat dengan arus sosialis. Antara isu-isu yang diperjuangkan ialah persoalan kemiskinan, persoalan masyarakat, pekerjaan, keadilan sosial dan juga isu-isu luar negara (Lihat: Azizan Bahari (1995), Belia Dan Masyarakat, IKD, hal. 45-48). Pada waktu itu, mantan TPM Malaysia, Anwar Ibrahim dengan wadah PKPIM dan ABIM yang disertainya merupakan satu fenomena. Tahun-tahun 70'an menyaksikan Anwarisme melanda IPT-IPT tempatan. Fenomena ini berterusan sehingga Anwar memasuki UMNO pada tahun 1982 dan juga selepas Revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Kehebatan gerakan pelajar di waktu tersebut telah memaksa kerajaan perikatan pada waktu itu untuk menggubal AUKU pada tahun 1971 dan juga pindaannya pada tahun 1975 (Lihat: Warkah Anwar (2004), susunan Zunar, Bab 4, hal. 290-303; juga lihat: A. Rahman Abdullah (1997), Pemikiran Islam di Malaysia, Jakarta: Gema Insani Press, hal. 226-230) .

Di luar negara pula, tahun-tahun 70'an dan awal 80'an menyaksikan fenomena IRC (Islamic Represantative Council) di UK dan juga pengaruhnya yang merebak ke AS. Gerakan yang membawa faham "Ikhwan al-Muslimin" Mesir dan juga "Jamaat Islami" Pakistan ini telah berjaya membawa para pelajar Malaysia daripada keseronokan dunia dan juga berpoya-poya kepada kesedaran Islam dan dakwah. Nama Abu Urwah (Saari Sungip) merupakan nama yang tidak asing lagi kepada para pelajar Islam yang terlibat dengan gerakan dakwah ala-Ikhwan atau IRC ini. Buku-buku tulisan beliau di dalam siri "Risalah Usrah" menjadi rujukan wajib di dalam sel-sel usrah di samping buku-buku tulisan pimpinan Ikhwan seperti Hassan al-Banna, Fathi Yakan, syed Qutb dan Mustafa Mahsyur. Kebanyakan buku-buku tersebut diterjemahkan oleh ustaz-ustaz pro Ikhwan atau IRC telah diterbitkan oleh Pustaka Salam. Fenomena IRC ini sedikit sebanyak telah merebak di IPT-IPT tempatan seperti di ITM, UM dan beberapa IPT yang lain (Zainah Anwar (1987), Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among The Students, KL: Pelanduk Publication, hal. 27-30).

Revolusi Islam Iran dan kemasukan Anwar ke dalam UMNO juga telah menyaksikan kemunculan gelombang baru di dalam senario dakwah Islam di IPT. PAS (Parti Islam SeMalaysia) yang telah dipimpin oleh Allahyarham Yusuf Rawa telah membawa gelombang "Kepimpinan Ulama" telah melangkah dengan rentak yang baru. Gabungan di antara fikrah Ikhwan al-Muslimin dan juga semangat Revolusi Islam Iran di dalam PAS telah membentuk satu fenomena baru bagi para pelajar Islam di IPT-IPT tempatan. Penyertaan para ustaz-ustaz dan para orator yang kebanyakannya mantan pimpinan pelajar di tahun-tahun 70'an telah merancakkan lagi pengaruh PAS di IPT-IPT. Fenomena Haji Hadi telah melanda IPT-IPT pada waktu itu. Anwarisme telah ditenggelami oleh Hadisme, terutamanya di kalangan para pelajar pro-PAS. Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam di IPT-IPT telah dijadikan wadah bagi PAS untuk mengembangkan dakwah dan dominasi mereka di dalam senario amal Islami di kampus-kampus pada penghujung 80'an sehingga pertengahan 90'an (Lihat: Farish Noor (2004), Islam Embedded, KL: MSRI, vol. 2, pg. 329-336). Antara isu yang diperjuang pada waktu ini ialah isu negara Islam dan juga isu Hudud. Fenomena al-Arqam walaupun wujud dan melanda IPT-IPT, namun kewujudan mereka tidaklah sehebat fenomena PAS dan Hadisme.

Tahun 1998 telah menjadi tahun keramat bagi gerakan mahasiswa Islam di IPT-IPT di Malaysia. Dato Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari kerajaan BN. Pemecatan orang nombor dua negara pada waktu itu telah ditafsirkan sebagai penjelmaan wajah sebenar UMNO yang tidak inginkan Islam. Anwar yang dilihat sebagai pejuang agenda Islam dan penerus agenda gerakan siswa Islam di peringkat Nasional dan di alam politik telah dipecat keana perjuangannya. Gerakan-gerakan mahasiswa Islam di IPT-IPT tanah air dan juga para pelajar Malaysia di luar negara seakan mendapatkan roh baru untuk bersatu dan berganding bahu setelah puas bergaduh sesama sendiri lebih satu setengah dekad. Sekali lagi Anwarisme melanda, walaupun pada waktu tersebut Anwar telah dipenjarakan. Refomasi, GERAK, dan juga Barisan Alternatif telah menjadi wadah untuk menyatukan para mahasiswa Islam pada waktu tersebut. Di waktu ini, isu rasuah, kronisme, nepotisme, salah laku dan juga keadilan sosial telah menjadi agenda gerakan Islam di IPT-IPT. Keadaan ini telah dilihat oleh kerajaan BN sebagai ancaman, maka selepas pilihanraya 1999 kerajaan telah mengambil 1001 langkah untuk mengelakkan arus gerakan pelajar daripada terus menggugat status quo mereka.

Milleneum yang baru pula telah menyaksikan gerakan dakwah siswa di IPT-IPT tempatan menjadi lesu. Pilihanraya kampus yang sering menjadi medan untuk mereka luaskan pengaruh dan memperjuangkan agenda juga telah direncanakan supaya tiada arus Islam yang akan dapat menguasainya. Para pelajar IPT di mileneum yang baru lebih diserikan dengan acara-acara hiburan, maksiat dan juga kelesuan di dalam akademik. Edisi siasat NTV 7 yang telah memaparkan gejala maksiat oleh para pelajar IPT tempatan sudah cukup membuktikan bagaimana berjayanya polisi-polisi yang telah dirancanakan untuk melemahkan gerakan siswa. Kelesuan gerakan pelajar Islam hanya akan membawa kepada kelesuan moral dan juga meningkatanya gejala maksiat dan hendonisme di kalangan mahasiswa. Walau bagaimanapun arus dakwah masih lagi tetap berjalan meskipun tidak serancak dahulu. GAMIS, PKPIM, Karisma, ISMA, Haluan, Tabligh, Rufaqa dan beberapa gerakan dakwah IPT masih berjalan demi meneruskan usaha Amar Maruf Nahi Munkar di IPT-IPT. Kewujudan mereka di IPT-IPT telah menyumbang kepada kurangnya budaya Hendonisme, dan juga sedikit sebanyak membantu pencapaian akademik para anggota gerakan-gerakan tersebut.

Asrisme

Di sebalik mendung yang melanda gerakan siswa Islam di IPT yang bertunjangkan idealisme haraki, muncul fenomena baru. Revolusi internet dan juga dunia globalisasi telah menjadikan para islamis dan pecinta Islam semakin maju di dalam bidang pemikiran. Jika dahulu, kebanyakan para Islamis hanya cenderung dengan retorik dan juga ceramah yang berapi-api, kini kebanyakan mereka menjadi semakin matang. Begitu juga halnya di dalam persoalan mengamalkan Islam. Persoalan ilmiah, hanya mengambil Islam dari sumber yang sahih serta pengamalan Islam yang benar serta terbuka telah menjadi satu metod baru di kalangan pecinta Islam. Para pecinta Islam di kalangan siswa IPT, samada di dalam dan luar negara menjadi lebih kritis, lebih ilmiah dan juga lebih bijak. Tidak seperti para Islamis terdahulu yang lebih berkiblatkan pondok-pondok dan juga penganggungan para Tok guru seraya bertaklid dengan mereka secara membuta tuli. Para Islamis milleneum baru lebih bijak di dalam beragama.

Kesedaran dan juga trend sebegini telah mengundang fahaman "Salafiyyah" yang juga digelar sebagai Wahabi oleh mereka yang anti terhadap fahaman tersebut. Fahaman yang menyeru agar umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bersumberkan al-Quran dan sunnah serta suci dari sebarang bid'ah dan khurafat. Faham ini juga amat mementingkan keaslian sumber terutamanya di dalam bidang aqidah dan ibadat. Konsep ilmiah seperti ini telah berjaya menambat hati para cerdik pandai semestinya.Hadis-hadis yang palsu dan dulunya sentiasa berlegar di bibir masyarakat telah berjaya dibongkarkan. Cerita-cerita Israeliyyat yang menjadi jampi pelaris para penceramah selebriti dan dijadikan candu kepada masyarakat yang jahil telah berjaya dikenal pasti oleh pendokong fahaman ini. Segala amalan bid'ah dan khurafat yang bukan dari ajaran Islam yang murni tetapi diamalkan secara meluas oleh masyarakat telah berjaya dibuktikan kesalahannya oleh fahaman ini. Tidak hairanlah mengapa para cerdik pandai serta para pelajar IPT lebih berminat dengan ajaran ini. Setiap perkara perlu ada dalilnya, setiap dalil perlulah sahih, setiap kesahihan perlu ada buktinya. Bukankah itu saintifik dan lebih ilmiah.

Sewaktu inilah muncul seorang anak muda graduan Jordan. Dengan membawa fahaman Salafiyyah ala Dr Yusuf al-Qaradawi yang serba moderat dan juga metod muhaddithin ala al-Albani, Dr Asri Zainal Abidin telah berjaya memikat pemikiran para pelajar IPT selain daripada para profesional. Literatur-literatur aliran Salafiyyah yang mula membanjiri pasaran hasil tulisan Ust Abdullah al-Qari, Ust Rasul Dahri, Hafiz Firdaus dan buku-buku terjemahan serta usaha orang-orang terdahulu telah memberikan satu momentum kepada anak-anak muda di IPT-IPT tempatan dan luar negara untuk bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh Dr Asri. Kepetahan beliau berhujah, pengguasaannya terhadap ilmu hadis ala al-Albani, dan juga kesederhanaan di dalam persoalan hukum ala-Qaradawi telah menjadi modal untuk Dr Asri disetujui oleh kebanyakan siswa-siswa dan siswi-siswi di IPT-IPT. Keupayaan beliau untuk menonjolkan kebatilan dakwah Astora lewat dua debatnya bersama penulis yang amat tidak disukai oleh para Islamis dan pecinta dakwah itu telah melonjakkan lagi pemikiran beliau. Kini apa sahaja seminar dan juga seminar, pasti nama Dr Asri akan menjadi penyerinya. Kuliah-kuliah beliau di Lembah Klang dan juga Pulau Pinang menjadi buruan pecinta ilmu dan pendokong aliran Salafiyyah. Kaset-kaset ceramah dan kelas-kelas pengajian beliau, CD, VCD dan juga buku-buku tulisannya menjadi rujukan para Islamis di IPT. Asrisme merupakan fenomena gerakan pelajar Islam di IPT pasca refomasi.

Asrisme agak berbeza dengan fenomena-fenomena sebelum ini. Seperti juga Amr Khalid di kalangan warga Arab, Dr Asri bukanlah berdakwah untuk kepentingan politik, dia juga tidak membawa agenda kepartian dan kejamaahan. Dia hanya ingin membawa masyarakat agar menghayati Islam yang sebenar dan juga bersifat ilmiah di dalam mengamalkan Islam. Terbukti, kebanyakan pelajar-pelajar IPT yang mengikuti arus Asrisme bersikap kritis dan mengkaji. Bayangkan, antara anak-anak murid penulis yang mengambil jurusan perubatan, Kejuruteraan, Ekonomi dan juga bidang-bidang bukan agama, telah mengenali darjat-darjat hadis, mengenali para sahabat, para ulama dan para perawi hadis serta kitab-kitab rujukan yang silam. Ini semua hasil positif Asrisme. Sayangnya, Asrisme ini dicemburui dan juga dimusuhi oleh sesetengah golongan yang tidak bersetuju samada dengan faham Salafiyyah mahupun dengan individu Dr Asri itu sendiri. Mungkin juga peranan pengkagum Asrisme yang terlalu agresif dan tidak menghormati pendapat orang lain telah menyumbang kepada perkara seumpama itu. Yang pentingnya, Asrisme merupakan satu fenomena di IPT-IPT sekarang ini!

Hizbut Tahrir

Di satu ruang yang lain pula muncul fenomena gerakan Hizbut Tahrir (HT). Dari Johor Baharu sehinggalah ke masjid-masjid di Perlis dan Kelantan, risalah terbitan kumpulan yang bernama Hizbut Tahrir ini dapat dirasai. "Soutun Nahdah", menjadi alat propaganda gerakan HT ini untuk menerangkan kepada masyarakat pendapat mereka (yang dikatakan sebagai pendangan Islam) terhadap isu-isu semasa. Isu hari pekerja, tahun baru, kapitalis, riba, demokrasi, Islam Liberal dan pelbagai lagi isu lain telah mereka sikapi dan diterangkan kepada masyarakat melalui risalah-risalah tersebut.

Sebelum refomasi di Indonesia HT bukanlah sebuah gerakan yang dapat dirasakan kewujudannya, samada di Malaysia mahupun di Indonesia. Sejurus selepas berlakunya refomasi di Indonesia, demokrasi yang subur telah memberikan peluang kepada HT untuk bergerak bebas dan melebarkan dakwah mereka. Bagaikan cendawan selepas hujan mereka berjaya merekrut anggota-anggota baru di IPT-IPT serata Indonesia. Di dalam siri-siri demonstrasi di Jakarta, mereka pasti akan muncul. Risalah-risalah, literatur-leteratur mereka mula membanjiri toko-toko buku di sana. Begitu juga halnya seperti di Malaysia, mereka segera menyikapi apa sahaja isu yang timbul dengan menyatakan pandangan HT yang dianggap sebagai pendangan Islam mengenai isu-isu tersebut. Pendekata HT adalah satu fenomena.

HT menjadikan perjuangan mereka adalah usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam yang sebenar di dalam masyarakat Islam. Kehidupan Islam di dalam masyarakat Islam menurut HT hanya akan dapat dilaksanakan apabila semua sistem-sistem Islam dijalankan di dalam kehidupan masyarakat dan bukannya secara juzuk-juzuk. Untuk menjalankan kesemua sistem-sistem Islam tersebut, maka penegakan semula sistem Khilafah dengan kewujudan seorang Khalifah yang memerintah umat Islam wajiblah diadakan (Lihat: Taqiyudin al-Nabhani (1994), al-Syakhsiyah al-Islamiyyah, Beirut: Dar al-Ummah, jil. 2, hal. 18-20). Demi menegakkan semula sistem khilafah metod "nubuwwah" wajib diikuti dan bukannya melalui metod-metod ciptaan manusia. Metod "nubuwwah" pada fasa permulaannya adalah dengan "peperangan pemikiran" di antara pemikiran Islam dengan ideologi-ideologi Kuffar. HT tidak menerima demokrasi sebagai cara untuk mendirikan sistem khilafah kerana ianya adalah ideologi kufur dan bertentangan dengan Islam (Lihat buku tulisan Dr Mahmud al-Khalidi (1983), Qawa'id Nizam al-Hukm, Jordan: Maktabah al-Muhtasib, hal. 37-58). Inilah hasil ide penubuh HT, Syeikh Taqiyyudin al-Nabhani, seorang ulama dari Palestin. Inilah juga dakwah HT di serata dunia.

HT, walaupun muncul di Jordan, namun ianya diharamkan di negara berkenaan. Begitu juga halnya di Iraq dan kebanyakan negara-negara Arab dan segelintir negara-negara Eropah. Mereka bergerak subur di UK kerana sistem demokrasi yang diamalkan di UK. Seperti halnya di UK, HT juga berkembang di Indonesia pasca refomasi. Pada waktu itu jugalah HT mula merebak ke Malaysia. Di peringkat awalnya, kewujudan HT hanya dapat dirasakan di alam maya lewat milis-milis dan juga laman web-laman web sahaja. Kemudiannya mereka muncul dengan menggunakan wadah Forum Islam Nusantara yang banyak menganjurkan forum-forum, wacana-wacana ilmiah di IPT-IPT sahaja. Tahun 2005 menyaksikan bagaimana faham HT telah dapat dirasakan di IPT-IPT terutamanya di Lembah Klang. HT juga telah didaftarkan sebagai sebuah NGO dan mendapat ruang yang lebih luas lagi untuk menyebarkan dakwah mereka terutamanya di dalam usaha memberikan kefahaman kepada umat mengenai sistem-sistem Islam. Kedengaran di forum-forum dan juga wacana-wacana yang dianjurkan di IPT-IPT dan juga di sesetengah tempat slogan "mengembalikan sistem khilafah" di atas inisiatif HT. Kesimpulannya, HT merupakan satu fenomena juga di IPT-IPT dewasa ini selari dengan arus Asrisme.

Ke mana seterusnya?

Fenomena Asrisme dan HT di IPT-IPT sememangnya sesuatu yang menarik. Mungkin ada sesetengah golongan yang melihat apa yang berlaku sebagai satu kekecohan dan juga perpecahan di dalam arena dakwah kampus. Ini merupakan pemikiran lapuk. Penulis melihatnya dari sudut yang positif. Pertumbuhan pemikiran-pemikiran Islam di IPT-IPT, malah di tengah-tengah masyarakat membuktikan bahawa masyarakat tersebut masih lagi cintakan Islam dan masih lagi berfikir. Kemunculan pemikiran-pemikiran dakwah seperti ini amat-amat diperlukan terutamanya untuk mengimbangkan arus hendonisme dan juga arus liberal yang semakin menggila di Malaysia dewasa ini. Kehadiran Asrisme dan juga HT akan lebih merancakkan lagi suasana dakwah kampus, selagi mana semua pihak memahami "Ummah Centric" dan juga "Abad al-Ikhtilaf".

Kehadiran dua fenomena baru ini sewajarnya menjadikan para pendakwah kampus bersikap lebih terbuka dan berusaha untuk mencari titik pertemuan dan bukanlah ruang perpecahan. Jika dilihat pun selain dari dua fenomena baru ini, gerakan-gerakan dakwah kampus kebanyakannya berpaksikan sumber fikrah yang sama, iaitu "Ikhwanic centric" (bersumberkan fikrah Ikhwan al-Muslimin). GAMIS yang mewakili PAS, PKPIM yang mewakili ABIM, Karisma yang mewakili JIM, SISMA yang mewakili ISMA, Haluan yang mewakili Kumpulan Ustaz Dahlan (dulunya dikenali sebagai ABIM Utara atau ABIM Perlis) kesemuanya berpaksikan pemikiran Ikhwan. Sudah tentu mereka yang berkongsi nasab yang sama lebih mudah untuk menemukan kesefahaman.

Kesilapan Islamis kampus terdahulu yang sering berbalah dan bertelagah sesama sendiri perlulah dijauhkan dan dijadikan pelajaran agar tidak diulangi lagi. Keikhlasan, sikap tawaduk serta keterbukaan pemikiran adalah amat penting. Untuk mencapai tujuan kesatuan, -jika tidak pun, cukuplah sekadar menghormati di antara satu sama lain- paradigma "Amal Jama'i" yang difahami oleh jamaah-jamaah dan gerakan-gerakan Islam di IPT selama ini perlulah di"up grade"kan kepada "Amal Tajammu'i". Apakah "Amal Tajamu'i"?, kita akan membincangkannya kemudian. Yang lebih penting juga, setiap jamaah, setiap kumpulan dan setiap individu yang cintakan Islam perlulah melakukan usaha dakwah di IPT secara intensif dan tidak kenal penat, tidak kiralah samada mereka berjamaah ataupun tidak, dan tidak kiralah jamaah apa pun yang dia anggotai. Insha Allah, satu hari nanti kita akan sama-sama menyaksikan perlaksanaan semula Syariat Islam di muka bumi Malaysia, mungkin di tahun 2020, siapa tahu?

(Sumber : UmmahOnline)

1 comment:

Syihabudin Ahmad said...

sungguh.. artikel ini menitiskan air mata ku kerana merasai perjuangan ini masih belum ku mulakan setelah ulama2 dan aktivis dakwah dilukai...

Allahu Akbar!