In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20060327

.: Apa? Apa itu Islam Hadhari :.

Islam Hadhari rancangan jangka panjang

Oleh HASHNAN ABDULLAH

SEPANG 25 Mac - Pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah perancangan jangka panjang bagi melihat masyarakat di negara ini mengamal nilai-nilai ajaran Islam dalam konteks yang lebih luas.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, tempoh masa itu perlu supaya 10 prinsip dalam Islam Hadhari itu tidak menimbulkan salah faham dan kebimbangan dalam negara yang komposisi rakyatnya berbilang kaum dan agama.

"Pendekatan Islam Hadhari samalah seperti konsep pertanian yang hasilnya tidak boleh dinikmati dalam tempoh jangka pendek kerana perkembangannya berlaku secara berperingkat-peringkat.

"Kami tidak mahu Islam Hadhari dianggap sebagai salah satu retorik politik kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri dari segi penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran selain dapat memperbetulkan sebarang salah anggap bukan Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja `Pengenalan Konsep Islam Hadhari' di Seminar Kebangsaan Islam Hadhari dan Pembangunan Ummah di sini, hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mustafa telah menggariskan beberapa ciri penting yang terdapat dalam pendekatan Islam Hadhari yang berupaya menentukan hala tuju kehidupan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, antara ciri penting tersebut adalah ilmu, pembangunan seimbang, harta kekayaan, kesihatan dan menikmati perhiasan hidup.

"Ilmu merupakan asas kepada pendekatan Islam Hadhari kerana ia bukan hanya kunci iman tetapi juga mampu menjana pembangunan ekonomi umat Islam itu sendiri.

"Ciri kedua yang penting adalah pembangunan seimbang yang tidak hanya tertumpu kepada perkara fardu ain tetapi juga merangkumi ilmu yang tergolong dalam fardu kifayah,'' katanya.

Beliau berkata, Islam menganggap harta kekayaan sebagai satu nikmat tetapi ia mesti disuburkan mengikuti lunas-lunas agama manakala ciri kesihatan pula penting dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.

"Islam tidak pernah mengajar umatnya memandang perhiasan dunia sebagai suatu yang jijik dan mendekatkan diri kepada syaitan,'' katanya.

(Sumber: Utusan Malaysia Online)

Kata carbonytte:

asSalamualaikum. ana tertarik sangat-sangat dengan berita ini. Pendekatan Islam Hadhari dijalankan sedikit-sedikit, katanya. Begitukah wahai pihak JAKIM? Begitukan pendekatan Islam Hadhari?

Ana ingin mengulas sedikit. Ya, tidak dinafikan, memang pada permulaan da'wah Rasulullah s.a.w yang tercinta, da'wah itu dijalankan secara sedikit-sedikit, secara senyap-senyap. Kemudian, barulah da'wah terbuka dan akhirnya kepada peperangan, atau Qital, peperangan yang dinamai Jihad Fi SabiliLlah, ataupun berjuang bersungguh-sungguh di jalan Allah s.w.t. Memang ada peringkat-peringkatnya, namun hakikat itu perlu diterima. Kita lihat kembali antara sebab da'wah dilakukan pertama kalinya dengan senyap-senyap. Ketahuilah, Sa'id Ramadhan Al-Buti menulis di dalam Fiqh Sirah I, hal ini disebabkan agar pihak kafir Quraisy tidak terperanjat dengan seruannya kerana mereka semua terlalu fanatik dengan penyembahan berhala. Namun, da'wah tetap da'wah, kerana Allah s.w.t berfirman :

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)."[Al-Muddathir:1-2]

Kemudian, turun ayat Allah yang lain :

"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu, (Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).[Al-Hijr:94-96]

Setelah turunnya ayat ini kepada Rasulullah s.a.w yang tercinta, nak taknak, Rasulullah s.a.w sudah tahu, perlu ada seruan secara terang-terangan. Lantas Rasulullah s.a.w. mengumpulkan puak Quraisy (Bani Fihr & Bani 'Adi) di bukit Safa. Dipendekkan cerita, apabila Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya kepada Islam, bangkitlah Abu Lahab yang berkata "Binasalah engkau hai Muhammad, apakah untuk ini sahaja yang engkau kumpulkan kami?" Dan sebagai janji Allah s.w.t, maka Allah s.w.t turunkan ayat ini :

"Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!"[Al-Lahab : 1]

Kemudian berlakulah siksaan terhadap umat Islam sehingga hijrah ke Yathrib, dan ditukar kepada Madinah. Digubal Piagam Madinah, agar Islam itu diletakkan pada tempat yang sepatutnya, bersepadan dengan firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata"[Al-Baqarah:208]

Itulah perlembagaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w yang tercinta melalui kuasa politik. Rasulullah s.a.w pertama-tama kalinya di Madinah menurunkan masjid, kemudian pada tahun kedua Hijrah barulah dibina pasar. Dan setelah itu, dipendekkan cerita, akhirnya Allah s.w.t menurunkan ayat yang mengizinkan perang :

"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan"[Al-Hajj:39-41]

Setelah itu, berlakulah beberapa ghasiyyah dan sariyyah sehinggalah pembukaan Kota Mekah. Kemudian Islam tersebar di negara-negara lain, seperti Rom,Konstatinople dan Parsi.

Okay, cukup sekadar itu untuk bab sirah. La, ana nak tanya sahabat sekalian. Di manakah umat Islam Malaysia sekarang? Adakah umat Islam berada di keadaan da'wah senyap-senyap, atau terbuka ? Terbuka. Ya, terbuka. Umat Islam Malaysia sudahpun memegang tampuk kekuasaan negara. Akan tetapi, Islam itu masih tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Hukum Islam masih lagi dipermain-mainkan. INGAT! EKONOMI DILETAKKAN DI TEMPAT KEDUA SELEPAS BAB AKIDAH. NAMUN, AKIDAH UMAT ISLAM MALAYSIA MASIH LAGI ROSAK DENGAN BERLAKUNYA KES-KES RASUAH, BLACK-METAL, KES UMAT ISLAM MURTAD, SEDANGKAN BAB EKONOMI DIPERJAJA DI SINI DI SANA. EKONOMI BERASASKAN ISLAM, AKAUN MUHIBBAH, SAHAM-SAHAM ISLAMIK, INI DAN ITU. RETORIK SEGALA-GALANYA. TAK GUNA SEMUA ITU JIKA BAB ZAKAT MASIH TERUMBANG-AMBING.

Wahai pihak yang berkepentingan. Ingatlah, jangan main cakap-cakap sahaja. Ana bukannya seorang ulama' dan sebagainya, ntum mungkin lebih tahu daripada ana di dalam bab-bab ini. Namun, mengapa ntum senyap dan ikut sahaja. Ingatlah golongan ashabul kahfi, apabila disuruh mengatakan apa yang tidak sepatutnya diperkatakan, mereka tetap dengan Allah s.w.t. Firman Allah :

"
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."[Al-Kahf:13-14]

Ingat, ntum orang yang boleh mengubah segala-galanya. Perkukuhkanlah iman ntum, perkuatkanlah hidayah,teguhkanlah hati sesama ntum, dan bangunlah melawan arus sekularisma ini. Tidak perlu jangka panjang lagi. Ntum ada suara. Suarakanlah apa yang benar.

waLlahua'lam...

No comments: