Jam 6 petang. Mataku sayup-sayup. Keletihan agaknya. Namun, jari-jemari ini masih ligat. Masih kuat. Masih aktif. Tulis, tulis dan menulis. Bisik hatiku "Udah-udah la tu, beriadah la pulak". Memang rasa nak beriadah. Ingin sangat nak beriadah. Namun, aku terpaku di depan komputerku apabila kaki dan tanganku seakan-akan bergaduh. Yang tangan, tulis tak habis-habis. Kaki pula, bergerak-gerak, tidak statik, tidak kekal pada tempat yang sama. Aku terpaku. Terkesima. Argh...
Tak mengapa. Sebentar sahaja tulisanku insyaAllah. Wahai tangan, jangan lama-lama. Wahai kaki, bersabarlah menunggu giliran, ek? Hari ini aku perhatikan masa berlalu agak pantas. Agak pantas bagiku. Tidak tahu kenapa. Tiada jawapan yang tetap, yang tepat, yang kukuh untuk aku menjawab persoalan hatiku ini. Ingat lagi aku pada kuliah Ustaz Shahrir Long "Jihad ini ada 3 bentuk, salah satunya adalah melalui tulisan..." Kiranya begitulah ayatnya, tidak lagi kuingat seperti mana dahulu. Ingatanku bukannya ingatan fotografik. Ingatan jangka panjang tu, bolehlah sikit-sikit. Maka, aku cuba menulis, sedaya-upaya aku. Aku mengambil sedikit dari ini, sedikit dari itu. Potongan ayat Al-Qur'an dan lembaran hadith Rasulullah s.a.w kadang-kadang aku sematkan bersama-sama nukilanku yang tidak seberapa.
Kakiku ini memang tidak faham akan erti kesabaran. Bergerak ke sini ke sana. Ke hulu ke hilir. Isk. Memang , tidak dinafikan, Abu Hurairah RadiyaLlahu'anhu berkata, sabda Rasulullah s.a.w :
"Mu'min yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mu'min yang lemah dan dalam tiap-tiap kebaikan rebutlah apa yang mendatangkan manfa'at kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah jangan lemah"[Riwayat Muslim]
Aku bukannya seorang sportsman. Bukannya seorang kaki sukan. Aku kaki bangku jugak. Kalau basketball, kalau tennis, kalau badminton, kalau skuasy, bolehlah. Itu pun tidak seberapa hebat yang kau sangkakan. Namun, aku cuba menepati salah satu daripada ciri seorang muslim "Qawi al-Jismi", Tubuh badan yang kuat. Aku bukannya berbadan sasa. Namun, tidaklah aku seorang yang kerdil.
Argh. Apakah yang harus aku lakukan. Eh, melihat jam sudah pukul 6.15. Memang tak bersukan kot hari ini, bisik hatiku lagi. Tidak mengapalah, andai diberi peluang olehNya Yang Maha Esa, aku turun padang esok. Maka, bermulalah satu sesi nukilanku lagi.
Allah s.w.t berfirman :
"“Di antara manusia ada yang membeli omongan yang dapat melalaikan untuk menyesatkan (orang) dari jalan Allah tanpa disedari, dan dijadikannya sebaqai permainan. Mereka itu kelak akan mendapat siksaan yang hina."[Luqman:6]
Ayat tersebut menceritakan tentang apa yang dikenali sebagai lahwul hadis, ataupun omongan yang melalaikan. Semalam aku menyaksikan event Festal'06, Festival Seni dan Kebudayaan. Boleh la tahan. Ada gamelan. Ada puisi. Ada silat. Segala-galanya berbentuk kebudayaan, namun di sebaliknya ada maksud yang tersirat. Bolehku nampak nilai-nilai keIslaman yang cuba dibawa. Yang cuba ditayangkan pada lapangan umat akhir zaman di kampusku ini. Namun, hatiku amat tertarik dengan persembahan terakhir. Alat musik moden.
Aku bukannya seorang ulama'. Bukannya seorang pakar hadith. Bukannya seorang tahfiz Al-Qur'an. Aku hanyalah seorang penuntut kejuruteraan elektrik dan elektronik di kampusku ini. Kampusku pun bukanlah kampus-kampus seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia,Universiti Sains Malaysia. Hanya sebuah universiti yang mempunyai cita-cita yang besar, azam yang tinggi, untuk mencapai sebuah status yang hebat, lebih hebat daripada universiti-universiti sedia ada di muka bumi Malaysia tanah airku ini, bumi kedua bagiku selepas Khilafah Islamiyyah yang aku idamkan.
Aku tahu. Memang ramai ulama' yang membicarakan tentang bab hiburan di dalam Islam. Tang ni Ok, tang tu x sesuai. Tang tu Haram syeikh. Tang tu makruh. Tang tu harus. Tidak kunafikan. Namun, kejutan yang agak besar kuterima apabila melihat gelagat dan telatah pemain-pemain alat musik tersebut. Aksi dan perilaku mereka begitu mengejutkan aku. Pada kaca mata duniaku, kulihat mereka seolah-olah mabuk, mabuk dilayan getaran-getaran bunyi yang menghasilkan musik yang indah pada halwa telinga mereka (aku juga pernah mendengar lagu-lagu seperti itu dahulu). Seperti tukang minum arak yang berdansa. Begitu asyik di dalam dilema dansa mereka. Begitulah pemain-pemain musik ini yang dapat kulihat, kutenung, kuperhati, dan kutafsir pada buah akal fikiranku.
Bukankah telah datang perintah Allah s.w.t tentang perkara ini dahulu, tentang omongan-omongan yang melalaikan manusia, melupakan manusia akan Tuhan yang Satu, Tuhan yang Wajib Disembah, Tuhan yang Wajib diingati seperti mana Allah berfirman :
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"[Adz-Dzaariyaat:56]
Ingatlah wahai umat akhir zaman. Ibadah ialah salah satu tugas kita yang perlu kita laksanakan. Ibadat ini senang sahaja. Ta'rifan ibadat : Sesuatu perilaku yang diniatkan kerana Allah s.w.t dengan syarat ia tidak melanggar hukum syara'. Hatta berkahwin kerana mengelakkan zina sudah dikira satu ibadat. Begitu bertuahnya manusia, umat Nabi Adam ini. Senang-senang sahaja sudah dikira membuat ibadat.
Namun, manusia lalai. Insan alpa. Alpa dengan keasyikkan dunia. Omongan yang melalaikan. Ibnu Hazm berkata tentang Surah Luqman, ayat 6: "Ayat tersebut menyebutkan suatu sifat yang barangsiapa mengerjakannya boleh menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu apabila dia menjadikan agama Allah sebagai permainan. Oleh kerana itu jika dia membeli sebuah al-Quran untuk dijadikan ayat guna menyesatkan orang ramai dan dijadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Inilah yang dicela Allah s.w.t. Samasekali Allah tidak mencela orang-orang yang membeli lahwal hadis itu sendiri yang boleh dipakai untuk hiburan dan menggembirakan hati, bukan untuk menyesatkan orang dari jalan Allah."
Selanjutnya Ibnu Hazm menolak anggapan orang yang mengatakan; bahawa nyanyian itu sama sekali tidak dapat dibenarkan, dan termasuk suatu kesesatan, seperti firman Allah.
“Tidak ada lain sesudah hak kecuali kesesatan.” (Yunus: 32)
Maka kata Ibnu Hazm: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Sesungguhnya semua perbuatan itu harus disertai dengan niat dan tiap-tiap orang akan dinilai menurut niatnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan berkata pula Ibnu Hazm: "Semua hadis yang menerangkan tentang haramnya nyanyian adalah batil dan palsu."
Ingatilah kata al-Qadhi Abubakar bin al-Arabi: "Tidak ada satupun hadis yang sah yang berhubungan dengan diharamkannya nyanyian." Tiadalah akan apa-apa hadis yang menyatakan tentang larangan nyanyian, hatta semuanya itu cacat belaka.
Akhir kata, Syeikh Yusuf Qardhawi menulis di dalam Halal Dan Haram Dalam Islam :
"1. Nyanyian itu harus diperuntukkan buat sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam. Oleh kerana itu kalau nyanyian-nyanyian tersebut penuh dengan pujian-pujian terhadap arak dan menganjurkan orang supaya minum arak, misalnya, maka menyanyikan lagu tersebut hukumnya haram, dan si pendengarnya pun haram juga. Begitulah nyanyian-nyanyian lain yang dapat dipersamakan dengan itu.
2. Mungkin subyek nyanyian itu sendiri tidak menghilangkan pengarahan Islam, tetapi cara menyanyikan yang dilakukan oleh si penyanyi itu beralih dari lingkungan halal kepada I;ngkungan haram, misalnya lenggang gaya dengan suatu kesengajaan yang dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah dan perbuatan cabul.
3. Sebagaimana agama akan selalu memberantas sikap berlebih-lebihan dan kesombongan dalam segala hal sampai pun dalam beribadah, maka begitu juga halnya berlebih-lebihan dalam hiburan dan menghabiskan waktu untuk berhibur, padahal waktu itu sendiri adalah berarti hidup!
Tidak dapat diragukan lagi, bahawa berlebih-lebihan dalam masalah yang mubah dapat menghabiskan waktu untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban. Maka tepatlah kata ahli hikmah: "Tidak pernah saya melihat suatu perbuatan yang berlebih-lebihan, melainkan di balik itu ada suatu kewajiban yang terbuang."
4. Tinggal ada beberapa hal yang seharusnya setiap pendengarnya itu sendiri yang memberitahu kepada dirinya sendiri, iaitu apabila nyanyian atau satu macam nyanyian itu dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah serta nafsu kebinatangannya itu dapat mengalahkan segi rohaniahnya, maka dia harus menjauhi nyanyian tersebut dan dia harus menutup pintu yang dari situlah angin fitnah akan menghembus, demi melindungi hatinya, agamanya dan budi luhurnya. Sehingga dengan demikian dia dapat tenang dan gembira.
5. Di antara yang sudah disepakati, bahawa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti: di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan cabul dan maksiat, maka di sinilah yang oleh Rasulullah s.a.w. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat, iaitu sebagaimana sabda beliau:
"Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu boleh dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi." (Riwayat Ibnu Majah)
Bukan merupakan kelaziman kalau mereka itu dirombak bentuk dan potongannya, tetapi apa yang dimaksud dirombak jiwanya dan rohnya. Bentuknya bentuk manusia tetapi jiwanya, jiwa kera dan rohnya roh babi."
Eh, aduss, sudah pukul 6.37. Nak mandi lagi, nak makan lagi. Hai,melepaslah riadah. Melepas melepas.
20060402
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment