In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20061015

Apa Rasionalnya?

Salam ukhuwwah.

6:48. Penulis membuka website Utusan Hairan. Bukannya penulis saja-saja nak memanggilnya Utusan Hairan, tapi memang, semakin lama semakin hairan media massa yang satu ini.

___________________________________________________________

Ina sudi ‘terima’ Mawi

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Nordiana Md. Naim, 22, sudi menerima kehadiran bekas tunangnya, Mawi, sekiranya penyanyi itu ingin berkunjung ke rumahnya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor pada hari raya Aidilfitri nanti.

Nordiana atau Ina berkata, dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan menganggap mereka yang datang ke rumahnya adalah tetamu bagi mengeratkan silaturahim.

‘‘Kalau Mawi yang datang, Ina tidak akan mengenepikannya kerana dia adalah tetamu dan Ina akan melayan dia dengan baik,’’ katanya.

Ina ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, di sini malam ini.

Ina yang merupakan penyanyi syarikat rakaman Hijazz Records berkata, jika benar bekas tunangnya itu ingin menziarahinya, dia tidak menafikan berasa terkejut dengan kunjungan tersebut.

Bagaimanapun kata Ina, dia gembira seandainya perkara itu benar-benar berlaku kerana ia akan memperlihatkan kepada orang ramai mereka sebenarnya tidak bermusuh.

Sementara itu, bapa Ina, Md. Naim Samijan, 52, berkata, dia menganggap perkara yang lepas itu biarlah berlalu dan hubungan silaturahim yang pernah dijalinkan sebelum ini jangan dibiarkan putus.

Namun katanya, selepas keluarga Mawi memutuskan pertunangan dengan anaknya pada Julai lalu, mereka tidak pernah lagi berhubungan antara satu sama lain.

‘‘Sempena kedatangan Syawal nanti, kalau Mawi dan ahli keluarganya nak datang kami mengalu-alukannya,’’ katanya.

Jelas Md. Naim, dia gembira melihat kejayaan anaknya untuk menjadi penyanyi dan mengakui menitiskan air mata mendengar lagu Tidak Punya Siapa nyanyian Ina.

_____________________________________________________________

Mengapa saya hairan dengan berita ini. Halnya kerana ini :

Berita ini diletakkan di dalam seksyen MUKA HADAPAN UTUSAN.COM.MY.

Sebelum ini sudahpun saya huraikan tentang media massa dan peranannya di dalam memanipulasi sesuatu masyarakat.

Mana-mana media massa yang mampu memungut pembaca yang ramai untuk membaca hasil tulisan media massa tersebut, mampu untuk memberi suatu kesan mendalam kepada pembaca-pembaca tersebut daripada sudut pemikiran, dan seterusnya memberi kesan terhadap keseluruhan hidup mereka.

Sejarah menunjukkan bagaimana pihak-pihak seperti Kesatuan Melayu Muda, menggunakan lembaran akhbar dan risalah untuk membawa mesej kemerdekaan kepada rakyat Tanah Melayu.

Sejarah menunjukkan bagaimana Imam Hassan Al-Banna menyebarkan risalah-risalahnya ke peringkat umum dan menjadi salah satu sumber kejayaan dakwah Ikhwan Muslimin di Egypt suatu ketika dahulu.

Begitulah juga dengan Utusan Hairan ini.

Hari demi hari, kita semakin lama ditakutkan dengan budaya hedonisma yang semakin menjadi-jadi. Ustaz Hasrizal di dalam salah satu karangannya, membicarakan tentang Malaysia yang boleh buat 7 'show' berkonsepkan hiburan serentak, sementara di Ireland tidaklah sampai ke tahap itu. Begitu jahil dan dasyhatnya sebuah negara 'Islam' bernama Malaysia ini, yang semakin lama semakin tercalar dengan cakaran hedonisma, hiburan melampau.

Maka, bukankah media massa, mampu, secara informal, untuk menjadi satu agen pengubah untuk mengubah kembali 'state of equation' Malaysia yang kini telahpun parah dimamah hedonisma, kepada satu budaya yang lebih bagus, budaya ilmu contohnya, seiring dengan alaf yang kita katakan alaf informasi, The Information Age.

Oleh itu, apa rasionalnya berita tersebut, diletakkan di Muka Hadapan? Mengapa tak diletakkan di seksyen Hiburan? Ataupun memang media massa ini hendak menjerumuskan lagi manusia bernama rakyat Malaysia ke dalam budaya hedonisma, hiburan melampau lagi melalaikan lagi, bukannya membawa rakyat Malaysia kepada suatu arah yang lebih baik?


"Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan." [Luqman:6]


No comments: