Merdeka! Merdeka !! Merdeka !!! Laungan anak muda masa kini. Kemudian, mereka berpesta, mereka berdansa, lupa diri, mabuk, dan waLlahua'lam Allah s.w.t sahajalah yang tahu. Mungkin bukan semua anak muda, tapi segelintir, dan disebabkan segelintir inilah rosak anak muda seluruhnya.
Namun begitu, tajuk kemerdekaan menjadi satu topik, yang agak berat, dewasa ini. Disebabkan oleh 'contempt of charges against court' dan sebagainya, nampak sangatlah tidak ada pun konsep kemerdekaan dalam negara kita.
Contoh, negara kita, konon-kononnya membenarkan seseorang berkata apa-apa sahaja. Tapi, di dalam konsitusi yang sama, Konsitusi Malaysia, sudahpun bertulis tentang Parlimen boleh menggunakan undang-undang bagi menghalang atau menghukum mana-mana individu yang berkata sehingga kata-katanya boleh memberi impak buruk pada Parlimen. Eik? Ingat bebas, tidak bebas juga rupanya.
Begitulah hukum yang dibina berlandaskan akal, ditulis dan digubal oleh seorang penjajah Barat bernama Lord Reid. Disebabkan penjajah ini, maka segala hukum dan perundangan Islam terbatal dengan automatiknya di tanah air kita, seperti yang termaktub di dalam Artikel (4).
Ada satu sabda Rasulullah s.a.w yang penulis tidak ingat akan perawinya, yang berbunyi "Untaian-Untaian Islam itu akan putus, akan putus, apabila putus satu untaian maka umat Islam akan berpaut pada untaian yang lain, untaian pertama yang akan putus ialah hukum, dan untaian terakhir yang akan putus ialah solat".
Kesannya begitu ternampak di muka bumi Malaysia yang tercinta ini. Berapa ramai orang yang mengaku diri mereka Islam, tidak pernah meninggalkan solat? Berapa ramai masyarakat Islam Malaysia, yang pernah meninggalkan solat secara sengaja? Lontaran pemikiran yang penulis rasakan cukup memakan diri kita semua. Jangankan solat berjemaah, solat secara individu pun masih ada yang tinggalkan, seolah-olah cukup dengan mengatakan "Aku seorang Islam", padahal solat 5 waktu itu merupakan antara rukun Islam. Andaikata rukun Islam tidak ditegakkan, mana mungkin individu itu dikira seorang Islam ataupun Muslim.
Merdekanya kita hari ini sehinggakan ustaz-ustaz boleh ditegur, bahkan ditegur secara kasar, secara terbuka, dan hatta sampai ke suatu tahap ustaz itu boleh diperkecil-kecilkan lagi. Tidak perlu untuk penulis pergi jauh, cukup sekadar memberi ulasan kecil tentang Jom Heboh, ataupun Sure Heboh, dan yang sewaktu dengannya. Ke mana perginya fatwa Ustaz Harussani beserta dalil-dalilnya? Ke meja Perdana Menteri, ataupun ke tong sampah? Begitulah analogi yang ingin penulis bawa di sini, sehinggakan fatwa seorang ustaz boleh diperlekehkan.
Merdekanya kita hari ini apabila seorang pemimpin, yang dahulunya pucuk pimpinan tertinggi, kini seolah-olah ditembak, seakan-akan dipancung, apabila beliau muncul kembali di arena yang pernah beliau ceburi suatu ketika dahulu, hanya kerana ingin memberi sepatah dua kata, serta menginginkan beberapa jawapan daripada orang-orang tertentu tentang hal-hal tertentu. Itulah hakikatnya apabila Tun Dr. Mahathir dicemuh, dikutuk kerana ingin bertanding untuk ke perwakilan UMNO akan datang. Dato' Seri Hishamuddin Hussein Onn, antara orang yang paling kuat menangisi pemergian Tun Dr. Mahathir suatu ketika dahulu, kini merupakan antara bacul pertama yang mengkritik kedatangan Tun Dr. Mahathir. Retorik sungguh.
Merdekanya kita hari ini, apabila suatu acara yang suci, yang baik, cuba untuk dibatalkan, cuba untuk ditiadakan, hanya gara-gara pengacara majlis tersebut merupakan kumpulan yang dibenci oleh pihak berkuasa. Hebat sungguh mereka ini apabila BPPNS cuba disekat untuk mengadakan Karnival Kemerdekaan di Negeri Sembilan. Hanya kerana mereka membawa nama sebuah parti yang tidak disukai pihak berkuasa, banyak taktik-taktik keji dikeluarkan. Antaranya penarikan balik permit pada saat-saat terakhir. Hmm, tak faham betul dengan mereka ini, bayang-bayang sendiri pun takut juga?
Merdekanya kita hari ini, sehinggakan nak murtad pun sudah boleh, hanya pergi ke badan-badan Kristianisasi yang menentang Islam secara terbuka, dan anda akan dibantu oleh mereka. Merdeka sampaikan tiada batasan yang boleh membataskan kita, asalkan kita suka. Kalau kita tidak suka, barulah kita tolak. Ingatlah, sesungguhnya, merdeka mana pun kita, kita tetap milik Allah s.w.t , sepertimana Allah s.w.t berfirman :
"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah kepadaku"[Adz-Dzariyaat:56]
Ayat yang cukup mudah diinterpretasi oleh kita, tentang sehingga mana batasan kemerdekaan itu. Adakah kemerdekaan itu beerti kita bebas melakukan apa-apa, tanpa suatu bentuk batasan sekalipun? Bolehkah sebatang pensel tidak mengeluarkan apa-apa hasil pun apabila digunakan untuk menulis di atas kertas, sedangkan isi ataupun karbon pensil itu masih ada? Cukuplah dengan analogi-analogi ini, wahai manusia, insaflah...
Juga 31 Ogos
Namun begitu, di saat kita memperingati 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan yang membuatkan kita insaf, ada satu lagi perkara penting yang berlaku pada 31 Ogos, atau lebih tepat, 31 Ogos 1876. Itulah tarikhnya apabila Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta, tampuk pemerintahan Empayar ataupun Khilafah Uthmaniyyah.
Siapa Sultan Abdul Hamid II ini? Beliau, sepertimana Sultan-Sultan yang lain, begitu terkenal sebagai penyair dengan bait-bait syairnya yang hebat. Beliau jugalah yang merupakan Sultan terakhir dalam dinasti Empayar Uthmaniyyah, sebelum berlakunya Revolusi Turki Muda, yang menjadi punca kepada runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah seterusnya membuatkan umat Islam serata dunia terkejut dan berada dalam keadaan yang cukup gelap buat beberapa ketika, sehinggalah munculnya gerakan-gerakan yang ingin membawa manusia kembali kepada Islam, seperti Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan sebagainya.
Namun begitu, ada satu ungkapan ayat yang menarik perhatian bagi sesiapa yang mendengarnya. Pada suatu ketika, datang seorang Yahudi bernama Theodor Hertzl menghadap Sultan, membuat tawaran demi tawaran untuk mendapatkan umi Palestin. Namun, jawapan Sultan Abdul Hamid II amat ringkas dan gagah, " Aku tidak akan memberi seinci pun daripada Palestin kepada kamu, kerana Palestin ini bukan milikku untuk diberikan kepada kamu, tetapi milik seluruh umat Islam". Begitulah seharusnya ketegasan terhadap umat Kuffar seperti maan Allah s.w.t berfirman :
"... mereka berkasih-kasih dengan orang mukimin, dan mereka bertegas terhadap orang kafir..."[Al-Maaidah:54]
No comments:
Post a Comment