Automatik layak mengundi -- Atasi masalah 4.9 juta rakyat tidak mendaftar sebagai pemilih
Oleh NIZAM YATIM dan SADATUL MAHIRAN ROSLI
KUALA LUMPUR 22 April – Pelbagai pihak menggesa kerajaan membuat kajian menyeluruh kemungkinan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi mengatasi masalah 4.9 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pengundi.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan dibuat pada 2005 yang menangguhkan pelaksanaan peraturan tersebut atas alasan terdapat banyak keburukan.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kajian mendalam perlu bagi membolehkan pelaksanaannya dalam memastikan orang ramai akan mendaftar sebagai pemilih.
‘‘Cadangan pendaftaran automatik pernah ditangguh oleh kerajaan, tetapi berdasarkan perkembangan terbaru ini satu kajian lengkap perlu dilakukan mengenai keberkesanannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberi reaksi itu sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pada muka depan Mingguan Malaysia hari ini bahawa 80 peratus daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar adalah orang Melayu.
Golongan terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk tidak berminat dengan urusan politik negara, malas, terlalu sibuk dan tidak tahu di mana tempat pendaftaran boleh dibuat.
Menurut Ab. Rashid, berbanding orang Melayu, kaum lain mempunyai kesedaran yang cukup tinggi untuk menjadi pengundi sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun.
Cadangan mendaftarkan secara automatik setiap warganegara yang mencapai umur 21 tahun dengan kawasan mengundi berdasarkan alamat yang tertera pada kad pengenalan pernah diumumkan oleh Ab. Rashid pada tahun 2001.
Bagaimanapun, SPR dalam satu kenyataan pada tahun 2005 menjelaskan pihaknya telah dinasihatkan oleh kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan perkara itu berikutan terdapat banyak keburukan.
Sementara itu, Ab. Rashid yang diminta menjelaskan penangguhan itu berkata, pendaftaran secara automatik tidak boleh dijalankan kerana telah termaktub dalam Perlembagaan 119 iaitu mengkehendaki pengundi mendaftar di tempat mereka bermastautin.
Katanya, sebelum ini, SPR pernah melaksanakan pendaftaran secara automatik mengikut alamat kad pengenalan tetapi didapati sistem itu tidak mencapai kejayaan kerana semasa menjalankan kempen pengesahan alamat, hampir 90 peratus surat berkenaan telah dikembalikan kepada badan tersebut.
‘‘Ini menunjukkan ramai yang tidak bermastautin lagi di alamat yang tertera mengikut kad pengenalan.
‘‘Ini adalah keburukan sistem tersebut kerana sikap rakyat Malaysia yang tidak ingin mematuhi keperluan menukar alamat dalam kad pengenalan apabila berpindah tempat kediaman,’’ kata Ab. Rashid.
Shamsul Anuar memberitahu, sebarang usaha untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik perlu disokong dengan kempen lebih agresif bagi menggalakkan generasi muda mengundi.
‘‘Tiada gunanya jika mereka didaftar secara automatik tetapi masih enggan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi ketika pilihan raya,” ujarnya.
Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO, Johan Abd. Aziz pula memberitahu, beliau telah meneliti cadangan pendaftaran secara automatik yang dibuat oleh SPR dan mendapati ia hanya boleh dilaksanakan jika segala kelemahan yang dikenal pasti diatasi.
Menurut beliau, pihaknya menyokong langkah mengkaji semula cadangan itu dan berharap semua pihak dapat mengemukakan idea baru bagi menyelesaikan segala kelemahan yang ada.
Selain itu, Johan berharap lebih banyak kaunter pendaftaran pemilih dibuka di universiti-universiti berikutan kajian pihaknya mendapati kebanyakan yang tidak mendaftar adalah daripada kalangan pelajar baru yang mencapai umur 21 tahun.
‘‘Jumlah ahli Pemuda UMNO yang tidak mendaftar kini adalah sedikit iaitu kira-kira 150,000 orang berbanding keseluruhan 740,000 ahli,” jelasnya.
Ketua Pemuda MIC, S.A. Vigneswaran pula berkata, pihaknya menyokong pelaksanaan pendaftaran secara automatik kerana ia telah berjaya dilaksanakan di negara-negara maju.
‘‘Kita perlu mempermudahkan proses pendaftaran bagi membolehkan penduduk yang layak dapat menunaikan tanggungjawab mereka tanpa masalah,’’ katanya.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr. Wee Ka Siong pula menyatakan yang pihaknya bersetuju dengan usaha tersebut tetapi dengan syarat semua kelemahan yang telah dikenal pasti diatasi terlebih dahulu.
‘‘Kita berharap lebih banyak perbincangan mendalam diadakan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dibuat secara berkesan,’’ ujarnya.
Bagi Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar, parti itu menyokong sepenuhnya cadangan mewujudkan pendaftaran pemilih secara automatik kerana ia mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding keburukan.
Katanya, kelemahan yang wujud boleh diatasi dengan mudah berikutan terdapat kaedah moden termasuk Internet yang memboleh penukaran alamat dilakukan secara talian terus.
_______________________________________________________
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Serampang dua mata. Benar sekali, sistem pendaftaran secara automatik akan memudahkan ramai orang.
1) SPR
2) Parti-parti politik
3) Pengundi
Namun, sebelum perkara seperti itu dilaksanakan, rasanya lebih bagus kalau ada beberapa 'check-up' dahulu.
Perkara paling utama mungkin sekali undi hantu. Benar atau tidak, kes-kes pengundi hantu seringkali berlaku di dalam negara kita. Memang banyak kes-kes yang dilaporkan(banyak lagi yang tak dapat dilaporkan, mungkin saja-saja sebagai provokasi, ataupun tidak cukup bukti), dan ada kes yang menang di mahkamah. Justeru itu, bukankah dengan sistem automatik ini, penipuan melalui undi hantu akan lebih berleluasa.
Alasannya ialah tiada konformasi ataupun pengesahan daripada sudut ataupun aspek pengundi itu sendiri. Cukup umur, boleh terus undi. Kalau taknak undi, 'well', jadilah undi hantu, 'nak atau tak nak'.
Perkara kedua mungkin sekali ialah kecekapan SPR sendiri. Satu sistem automatik, sekiranya dilaksanakan, memerlukan pemerhatian yang tinggi kerana kesilapan, sama ada 'fatal' ataupun tidak bila-bila sahaja boleh berlaku. Dengan kadar kecekapan SPR kini, yang masih lagi diragui sesetengah pihak, mungkin cadangan untuk membuat sistem pendaftaran secara automatik perlu dikaji dengan sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment