In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20060831

Lagi Merdeka

Lagi tentang isu merdeka. Memang tepat sekali fikiran penulis apabila memikirkan anak muda sekarang yang memikirkan apabila tibanya hari kemerdekaan, bermakna mereka 'merdeka' , terlalu merdeka untuk berbuat apa-apa. Petikan di bawah cukup dasyhat, untuk menerangkan tentang keadaan malam semalam ketika detik menghampiri 31 Ogos 2006, berdekatan dengan Masjid As-Syakirin, Menara Berkembar PETRONAS.

Konsert hiburan diadakan semata-mata untuk memberi santapan 'rohani' anak muda kota supaya lupakan sejenak kisah kerja atau keluarga kerana yang penting 'kebebasan' sempena Malam Kemerdekaan.

Di tengah-tengah asyik Mawi mendendangkan lagu, di hujung padang konsert terdapat pasangan yang bercumbu ada yang sambil memangku dan ada yang berbaring.

Semuanya dirasakan 'halal', maksiat atau 'botol air neraka' tidak lagi nampak dosanya kerana merdeka membenarkan segalanya mengikut tafsiran buta mereka.

Lebih menyedihkan ada juga yang berani berpelukan di tepi-tepi tangga masjid sedangkan dalam masa yang sama satu program kerohanian sedang dijalankan oleh sekumpulan manusia yang memohon keberkatan Allah meneruskan nikmat merdeka.
Merdekanya mereka, yang haram juga boleh jadi halal. Namun, anak-anak muda ini tidak berhenti di situ sahaja.

Di celah kelekaan itu muncul sekumpulan anak muda yang dipimpin oleh Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman untuk mengedar risalah kesedaran tentang gejala murtad dan masalah sosial serta penghayatan merdeka menurut Islam.

Menurutnya, sejumlah 50,000 risalah berjaya diedarkan, dan Pemuda PAS tidak bersendirian dalam mengedarkan risalah dakwah itu.

...

Namun, anak-anak muda Kuala Lumpur masih segar menghirup 'kebebasan maksima' di tengah-tengah suram lampu-lampu taman di sekitar KLCC, Taman Tasik Titiwangsa dan dibeberapa lokasi lain di Kuala Lumpur.

Yang tertiarap bersama hembusan 'air syaitan' mula bercakap merapu dan berjalan terhoyong hayang, sementara yang bercumbu terus asyik dibelai 'kisah cinta malam merdeka'.

Ada yang berpelukan hingga lupa 'sijil nikah' tidak pernah dipohon, sementara ada yang sekadar main mata, duduk berdua sambil berseloka kisah 'uda dan dara' kota yang lupa ibu bapa serta asal-usulnya.

Hampir tiga jam aktivis-aktivis Pemuda PAS berada di Taman Tasik Titiwangsa.Segala macam rupa bentuk manusia ditemui.Seketika rombongan pemuda bertemu dengan sekumpulan anak muda yang dalam lingkungan 10 hingga 16 tahun asyik mengayuh basikal membawa bendera Malaysia.

Operasi cegah maksiat diteruskan hingga jam 3.35 pagi dan akhirnya di pagi yang penuh 'kebebasan' bagi warga kota itu rombongan Pemuda PAS bertemu dengan beberapa pasangan 'tegar' yang bercumbu tetapi tidak mahu diganggu.
Begitulah senario anak-anak muda, yang satu hari nanti bakal menjadi pemimpin masyarakat. Begitulah betapa hebatnya pihak barat yang telah menjajah minda anak muda sehingga mereka merasakan mereka bebas, padahal pada hakikatnya perilaku mereka merupakan satu tanda kejayaan brainwash project oleh pihak Barat yang ingin merosakkan adat ketimuran dan nilai-nilai keIslaman dalam diri anak muda.

Masa penulis masih lagi kecil, muda, perkara ini tidaklah seteruk ini. Mungkin ya, memang pada natjiahnya ada perkara sebegini, tetapi bukannya anak muda yang berusia 10-16 tahun. 10 tahun, tidakkah muda dan masih tidak matang untuk anak muda sebegitu berpeleseran tengah-tengah malam buta. Tidak tahulah jikalau si ayah dan si ibu tidak kisah dengan anak mereka, ataupun worst situation, di mana kesombongan anak itu terlampau tinggi sehingga tidak dapat diperbetulkan lagi dengna kayu, dengan rotan, si ayah tidak mampu mengubah anaknya dengan tangan, si ibu tidak mampu mengubah anaknya dengan lidah, menjadikan rosak anak itu, hanyut dengan hiburan melampau.

Pihak jabatan agama? Ke mana pergi golongan ini? Semasa Mufti Perak giat perkatakan tentang isu murtad, JAKIM bangkit dan berbincang tentang kesahihan fakta jumlah orang murtad di Malaysia. Tanggal 31 Ogos, mana mereka pergi?

Menurutnya, sejumlah 50,000 risalah berjaya diedarkan, dan Pemuda PAS tidak bersendirian dalam mengedarkan risalah dakwah itu.

Sebaliknya Pemuda PAS ditemani sekumpulan anak muda dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta beberapa NGO islam lain yang turut mengedar risalah dakwah yang hampir serupa, katanya.

"Saya pelik, dalam pada kita (Pemuda PAS) membuat operasi ini, kelibat penguatkuasa agama Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) lansung tidak dilihat.Apa mereka buat tatkala anak muda mabuk asmara bercumbu tanpa melihat batas agama," katanya sambil mempertikai peranan Jawi menyelesaikan masalah sosial di Kuala Lumpur.
Mungkin yang perlu diubah sekarang ini bukannya anak muda, tetapi pihak berkuasa?

Merdeka


Merdeka! Merdeka !! Merdeka !!! Laungan anak muda masa kini. Kemudian, mereka berpesta, mereka berdansa, lupa diri, mabuk, dan waLlahua'lam Allah s.w.t sahajalah yang tahu. Mungkin bukan semua anak muda, tapi segelintir, dan disebabkan segelintir inilah rosak anak muda seluruhnya.

Namun begitu, tajuk kemerdekaan menjadi satu topik, yang agak berat, dewasa ini. Disebabkan oleh 'contempt of charges against court' dan sebagainya, nampak sangatlah tidak ada pun konsep kemerdekaan dalam negara kita.

Contoh, negara kita, konon-kononnya membenarkan seseorang berkata apa-apa sahaja. Tapi, di dalam konsitusi yang sama, Konsitusi Malaysia, sudahpun bertulis tentang Parlimen boleh menggunakan undang-undang bagi menghalang atau menghukum mana-mana individu yang berkata sehingga kata-katanya boleh memberi impak buruk pada Parlimen. Eik? Ingat bebas, tidak bebas juga rupanya.

Begitulah hukum yang dibina berlandaskan akal, ditulis dan digubal oleh seorang penjajah Barat bernama Lord Reid. Disebabkan penjajah ini, maka segala hukum dan perundangan Islam terbatal dengan automatiknya di tanah air kita, seperti yang termaktub di dalam Artikel (4).

Ada satu sabda Rasulullah s.a.w yang penulis tidak ingat akan perawinya, yang berbunyi "Untaian-Untaian Islam itu akan putus, akan putus, apabila putus satu untaian maka umat Islam akan berpaut pada untaian yang lain, untaian pertama yang akan putus ialah hukum, dan untaian terakhir yang akan putus ialah solat".

Kesannya begitu ternampak di muka bumi Malaysia yang tercinta ini. Berapa ramai orang yang mengaku diri mereka Islam, tidak pernah meninggalkan solat? Berapa ramai masyarakat Islam Malaysia, yang pernah meninggalkan solat secara sengaja? Lontaran pemikiran yang penulis rasakan cukup memakan diri kita semua. Jangankan solat berjemaah, solat secara individu pun masih ada yang tinggalkan, seolah-olah cukup dengan mengatakan "Aku seorang Islam", padahal solat 5 waktu itu merupakan antara rukun Islam. Andaikata rukun Islam tidak ditegakkan, mana mungkin individu itu dikira seorang Islam ataupun Muslim.

Merdekanya kita hari ini sehinggakan ustaz-ustaz boleh ditegur, bahkan ditegur secara kasar, secara terbuka, dan hatta sampai ke suatu tahap ustaz itu boleh diperkecil-kecilkan lagi. Tidak perlu untuk penulis pergi jauh, cukup sekadar memberi ulasan kecil tentang Jom Heboh, ataupun Sure Heboh, dan yang sewaktu dengannya. Ke mana perginya fatwa Ustaz Harussani beserta dalil-dalilnya? Ke meja Perdana Menteri, ataupun ke tong sampah? Begitulah analogi yang ingin penulis bawa di sini, sehinggakan fatwa seorang ustaz boleh diperlekehkan.


Merdekanya kita hari ini apabila seorang pemimpin, yang dahulunya pucuk pimpinan tertinggi, kini seolah-olah ditembak, seakan-akan dipancung, apabila beliau muncul kembali di arena yang pernah beliau ceburi suatu ketika dahulu, hanya kerana ingin memberi sepatah dua kata, serta menginginkan beberapa jawapan daripada orang-orang tertentu tentang hal-hal tertentu. Itulah hakikatnya apabila Tun Dr. Mahathir dicemuh, dikutuk kerana ingin bertanding untuk ke perwakilan UMNO akan datang. Dato' Seri Hishamuddin Hussein Onn, antara orang yang paling kuat menangisi pemergian Tun Dr. Mahathir suatu ketika dahulu, kini merupakan antara bacul pertama yang mengkritik kedatangan Tun Dr. Mahathir. Retorik sungguh.

Merdekanya kita hari ini, apabila suatu acara yang suci, yang baik, cuba untuk dibatalkan, cuba untuk ditiadakan, hanya gara-gara pengacara majlis tersebut merupakan kumpulan yang dibenci oleh pihak berkuasa. Hebat sungguh mereka ini apabila BPPNS cuba disekat untuk mengadakan Karnival Kemerdekaan di Negeri Sembilan. Hanya kerana mereka membawa nama sebuah parti yang tidak disukai pihak berkuasa, banyak taktik-taktik keji dikeluarkan. Antaranya penarikan balik permit pada saat-saat terakhir. Hmm, tak faham betul dengan mereka ini, bayang-bayang sendiri pun takut juga?

Merdekanya kita hari ini, sehinggakan nak murtad pun sudah boleh, hanya pergi ke badan-badan Kristianisasi yang menentang Islam secara terbuka, dan anda akan dibantu oleh mereka. Merdeka sampaikan tiada batasan yang boleh membataskan kita, asalkan kita suka. Kalau kita tidak suka, barulah kita tolak. Ingatlah, sesungguhnya, merdeka mana pun kita, kita tetap milik Allah s.w.t , sepertimana Allah s.w.t berfirman :

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah kepadaku"[Adz-Dzariyaat:56]

Ayat yang cukup mudah diinterpretasi oleh kita, tentang sehingga mana batasan kemerdekaan itu. Adakah kemerdekaan itu beerti kita bebas melakukan apa-apa, tanpa suatu bentuk batasan sekalipun? Bolehkah sebatang pensel tidak mengeluarkan apa-apa hasil pun apabila digunakan untuk menulis di atas kertas, sedangkan isi ataupun karbon pensil itu masih ada? Cukuplah dengan analogi-analogi ini, wahai manusia, insaflah...

Juga 31 Ogos

Namun begitu, di saat kita memperingati 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan yang membuatkan kita insaf, ada satu lagi perkara penting yang berlaku pada 31 Ogos, atau lebih tepat, 31 Ogos 1876. Itulah tarikhnya apabila Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta, tampuk pemerintahan Empayar ataupun Khilafah Uthmaniyyah.

Siapa Sultan Abdul Hamid II ini? Beliau, sepertimana Sultan-Sultan yang lain, begitu terkenal sebagai penyair dengan bait-bait syairnya yang hebat. Beliau jugalah yang merupakan Sultan terakhir dalam dinasti Empayar Uthmaniyyah, sebelum berlakunya Revolusi Turki Muda, yang menjadi punca kepada runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah seterusnya membuatkan umat Islam serata dunia terkejut dan berada dalam keadaan yang cukup gelap buat beberapa ketika, sehinggalah munculnya gerakan-gerakan yang ingin membawa manusia kembali kepada Islam, seperti Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan sebagainya.

Namun begitu, ada satu ungkapan ayat yang menarik perhatian bagi sesiapa yang mendengarnya. Pada suatu ketika, datang seorang Yahudi bernama Theodor Hertzl menghadap Sultan, membuat tawaran demi tawaran untuk mendapatkan umi Palestin. Namun, jawapan Sultan Abdul Hamid II amat ringkas dan gagah, " Aku tidak akan memberi seinci pun daripada Palestin kepada kamu, kerana Palestin ini bukan milikku untuk diberikan kepada kamu, tetapi milik seluruh umat Islam". Begitulah seharusnya ketegasan terhadap umat Kuffar seperti maan Allah s.w.t berfirman :

"... mereka berkasih-kasih dengan orang mukimin, dan mereka bertegas terhadap orang kafir..."[Al-Maaidah:54]


20060829

Gajah, Sensitif?


Hai, Tak Mahu Pandang Sebelah?
Gambar ini diambil daripada Agendadaily.com. Menarik, kan? Bukan yang di sebelah kanan, tapi di sebelah kiri. Hmm, ada dua orang di sana, masing-masing memakai songkok. Apa yang peliknya, mereka berdua bermasam muka, dan memandang pada arah yang berlainan, seperti adanya bibit-bibit permusuhan di situ, konon-kononnya wujud dinding halimunan yang memisahkan mereka.
Itulah hakikat yang berlaku di dalam sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai UMNO. Di dalamnya penuh dengan api-api permusuhan, semuanya gara-gara pangkat, kuasa. Hal ini pernah dibentangkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, maka tidak wajarlah di sini untuk penulis memperjelaskan lagi tentang hal-hal ini.
Penulis terkejut apabila membaca forum KampusNegara.net, adanya satu topik baru "Dr M dapat pencalonan terbanyak" . Tidak ditulis pula sumbernya. Namun, pada hasrat penulis, perkara sebegini sudah cukup untuk membuktikan betapa Dr Mahathir, walaupun terkenal dengan sikapnya yang mungkin GK, masih lagi ada dalam hati rakyat, kerana rakyat tahu, berbanding dengan Pak Lah, Dr. M is a way better person. Pemimpin yang mampu bersuara lebih dipercayai berbanding pemimpin yang tidak habis-habis mengharapkan bantuan orang lain untuk menjawab soalan-soalan yang mampu dijawabnya sendiri.
Namun begitu, timbul pula satu kekeliruan baru. Mesyuarat perwakilan tersebut akan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Mahadzir Khalid, seorang orang kuat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mungkinkah pencalonan Tun Dr.M akan ditolak? Segala-galanya mungkin.


Media Massa

Lewat ini begitu ramai yang menceritakan tentang persandingan Datuk K, ataupun Datuk Khalid M. Jiwa dan Siti Nurhaliza. Kalau tidakpun, masyarakat umumnya akan berceloteh tentang Ina dan Mawi. Impaknya, ramai blogger berfikrah marah, terkejut, terkesima, terkedu, melihat aksi masyarakat sedemikian, dan mereka semua menuding jari pada satu sumber yang sama, "TiVi".
Hatta seorang sahabat saya sendiri menulis tentang Mass Media. Bukan sahabat, tetapi sahabat-sahabat saya. Rata-rata mereka kesal melihat Mainstream Media ataupun arus media perdana, secara spesifiknya RTM, ASTRO dan TV3 menayangkan benda yang dianggap picisan pada minda mereka.
Secara jujurnya, saya juga bukanlah peminat setia berita-berita 'panas' seperti ini, yang datang sekejap sahaja, kemudian pergi ibarat burung layang-layang yang sentiasa terbang ke seluruh pelusuk bumi ciptaan Allah yang Maha Agung, Maha Hebat. Namun, saya tidak menafikan tentang kelaziman manusia, akan perkara-perkara seperti ini.
Apa yang perlu dikatakan lagi, rakyat Malaysia lazimnya masih lagi terkapai-kapai dengan hiburan melampau, ataupun hedonisma, sehinggakan fatwa Mufti Perak boleh diperlekehkan. Apabila Mufti Perak memberitahu tentang jumlah golongan murtad di Malaysia yang berlambak, 40'000 orang kalau tidak silap saya, pihak JAKIM membincang dan mempersoalkan tentang jumlah, kuantiti masyarakat murtad di Malaysia, bukannya langkah-langkah pencegahan.
Rakyat Malaysia pula, "Oh, iye ke? Betulkah?" Hanya mampu bersuara begitu, tanpa adanya sensitiviti tentang masyakarat Islam Melayu yang semakin hilang identiti. Apabila hendak memperkatakan tentang hal-hal murtad, kita dicemuh dan diberitahu agar tidak membincangkan benda sensitif, walhal perkara picisan seperti Datuk K dan Siti Nurhaliza pula dibenarkan dibincang di dalam mesyuarat, warung kopi dan sebagainya. Itukah yang dimaksudkan dengan sensitif? Sensitif sehingga menghilangkan rasa sensitiviti akan agama sendiri.
Namun, apa nak dikata, kalau sudah Melayu, maka MeLayulah mereka...
p/s: Minta maaf kerana jarang memberi pandangan di blog ini, penulis tidak dapat membahagikan masa dengan betul baru-baru ini, banyak perkara yang terpaksa dilakukan, banyak kerja terpaksa disiapkan. Maaf, maaf, dan maaf.