In The Name Of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful

20060310

.: Ribut musnahkan bahagian depan Masjid TTDI Jaya :.

SHAH ALAM, 9 Mac (Hrkh) - Ketakutan kepada banjir yang berlaku minggu lalu terus menghantui penduduk TTDI Jaya, Shah Alam. Hari ini mereka takut lagi apabila ribut kuat melanda kawasan mereka sehingga beranda masjid yang dibina runtuh.

Ribut yang melanda Shah Alam petang tadi telah merobohkan beranda Masjid Al - I'tisan yang terletak di Jalan Sastera, Taman TTDI Jaya.

Ribut yang dirasakan luarbiasa kuatnya oleh penduduk di sekitar itu telah merobohkan atap yang dibuat dari besi pada depan masjid itu.

Baru Ahad 26 Februari lalu, banjir kilat melanda kawasan mereka. Ia masih terus menjadi igauan penduduk TTDI Jaya kerana banyak sekali perkakas rumah mereka rosak kerananya.

Image
Pekerja mula membaiki keruntuhan masjid
Petang tadi, apabila ribut melanda, mereka terus hubungi jurugambar Harakah untuk merakamkan kejadian itu.

Ini adalah gambar yang kami rakamkan.








(Sumber:Harakah Daily)

Kata carbonytte :


asSalamualaikum.

Salam ukhwah buat para ikhwah dan akhwaat sekalian. Peristiwa ini secara sedar, separa sedar atau tak sedar langsung insyaAllah mengingatkan kita kembali akan peristiwa tsunami. Bagaimana bala yang diturunkan oleh Allah s.w.t azza wa jalla kepada umat yang bernama Islam, umat Nabi Muhammad s.a.w. Renung kembali zaman tsunami tersebut, ingatkah kita akan Masjid Baiturahman di Aceh. Di kala bangunan-bangunan ciptaan manusia jatuh ke bumi, menghempap ke tanah ciptaan Allah s.w.t yang Maha Esa, rumahNya, Masjid Baiturahman dan masjid-masjid lain di Aceh yang kekal,teguh,utuh berdiri berpijak di atas bumi ciptaan Allah s.w.t yang Khaliq, Maha Pencipta.



Begitu hebatnya kuasa Allah s.w.t untuk menjaga rumahNya, dan termasuklah beberapa kisah seperti orang yang tidak layak berlindung di rumah Allah s.w.t ketika berlakunya tsunami ditarik oleh air yang deras. Begitu hebatnya Subhanallah.

Namun begitu apa yang terjadi di negara kita adalah sebaliknya. Apa dosa yang kita lakukan sehingga beranda masjid runtuh. AstaghfiruLlahal`azim. Bertaubat kita kepada Allah s.w.t sehingga diberi bala sebegini. Ingatlah, apa pemerintah zalim, dan apabila rakyat lupa akan Tuhan, akan datanglah bala yang menakutkan manusia, agar manusia lebih-lebih lagi manusia yang bergelar Muslim, bertaubat meminta keampunan dariNya.

WalLahua`lam.

.: Menanti sepakat politik :.

Oleh: Mohamad Ridhwan Alias

Lebih 5 dekad kita berpolitik dengan menggunakan sistem demokrasi melalui pilihanraya. Kini, tibalah masanya kita menilai semula keberkesanan sistem demokrasi dalam pembentukan agenda umat Melayu-Islam di negara ini. Persoalan ini timbul kerana sistem demokrasi yang kita amalkan semakin mewujudkan golongan bertentangan sehingga berlakunya pertarungan yang merobek perpaduan umat Melayu-Islam. Kehancuran perpaduan umat Melayu-Islam bermakna kehancuran proses pembentukan bangsa Malaysia.

Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat di antara satu sama lain kerana kita mempunyai pengalaman, tahap pendidikan dan kepentingan semasa yang berbeza tetapi biarlah pertarungan ini dalam ruang lingkup yang sihat iaitu bersifat mulia-bestari, beradab dan kondusif.

Pertarungan politik yang mengancam perpaduan diantara umat Melayu-Islam telah mewujudkan politik dendam akan memusnahkan kekuatan umat Melayu-Islam. Natijah daripada sikap pelampau dalam politik ini, umat Melayu-Islam sekarang bertindak dan berfikir dalam kerangka politik parti mereka. Fenomena ini sememangnya menjadi barah dikalangan pengikut bawahan.

Sebagai contoh, sembahyang di masjid berlainan tempat dalam kampung yang sama dan pembahagian bantuan berdasarkan parti tertentu. Politik dendam yang menjadi pilihan umat Melayu-Islam disebabkan ketidakfahaman mereka dalam menangani isu politik dan konflik politik kepartaian sehingga memusnahkan nilai kemanusiaan dan Islami yang perlu dipelihara.

Perkataan politik berasal daripada perkatan Greek iaitu polis bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Abdul Hamid al Ghazali mendefinisikan politik sebagai keahlian memerintah dan menjalankan negara; kekuatan dan kemampuan untuk meraih tujuan politik. Dalam konteks moden, politik boleh dimaknakan sebagai suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbir oleh sesebuah pertubuhan politik.

Sebenarnya, umat Melayu-Islam baru sahaja mengenali politik bercorak institusional yang berkiblatkan Barat dengan penubuhan pertubuhan bercorak politik seperti Kesatuan Melayu Muda, Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan UMNO. Selama ini umat Melayu-Islam telah terbiasa dengan sistem politik naungan yang bergantung harap kepada kepimpinan personal.

Keseluruhan pimpinan umat Melayu-Islam tertakluk kepada idea bertuankan kepada para sultan atau pembesar. Ini bermakna pengikut atau rakyat dalam struktur masyarakat Melayu-Islam dihubungkan dengan konsep hamba tuan kepada kepimpinan personal yang mempunyai daulat, karisma dan wibawa yang diabsahkan melalui tradisi atau melalui undang-undang yang diinstitusikan.

Pemimpin politik juga bertindak sebagai protector (pelindung) dan patron (penaung) kepada rakyat atau pengikut. Kedatangan British telah mengubahkan budaya politik pimpinan personal Melayu kepada kepimpinan Melayu bercorak institusi melalui parti politik. Walau bagaimanapun, budaya feudal tersebut tidak diberesi secara lumat oleh British. Impaknya, muncullah ‘orang-orang’ tertentu dalam parti pemerintah yang bercakaran sesama sendiri.

Hadirnya sistem demokrasi berpilihanraya di Tanah Melayu menyebabkan munculnya parti politik seperti PAS dan UMNO yang cukup berpengaruh dalam masyarakat Melayu-Islam. Pertembungan kedua-dua parti Melayu-Islam ini seringkali tidak terkendali sehingga mewujudkan suasana permusuhan di kalangan pendukung kedua-dua parti. Api permusuhan ini semakin marak sehingga isu yang memerlukan kebersamaan sukar dijalinkan kesepakatan. Akibatnya umat Melayu-Islam sendiri akan menanggung kerugian dan ia akan menguntungkan pihak lain yang berkepentingan.

Permusuhan ini disebabkan oleh perebutan kuasa pemerintahan sehingga kedua-dua pihak gagal melihat perbezaan diantara kepentingan politik dan kepentingan politik kepartaian. Berparti bermakna kita berpolitik tetapi berpolitik tidak bermakna kita berparti. Kita boleh melihat insan berjalur bebas seperti aktivis mahasiswa sosialis, Hishamuddin Rais yang memperjuangkan hak kemanusiaan dan keadilan berdasarkan fahaman sosialis beliau tanpa parti.

Imam as-syahid Hasan al Banna menyifatkan politik tanpa parti adalah politik mutlak dimana ia melihat hal ehwal dalaman umat dan luarannya tanpa mengaitkan dengan kepartaian. Oleh sebab itu, isu-isu seperti isu Anwar, isu hudud dan tahanan ISA perlu dilihat dalam konteks pemaknaan politik yang lebih luas melepasi sempadan parti politik. Isu-isu tersebut melibatkan persoalan hak asasi manusia dan Islami.

Manusia atau organisasi yang bersikap non-partisan boleh berpolitik dengan makna boleh menyatakan pandangan dan isu-isu. Perjuangan politik tanpa parti berdasarkan prinsip dan isu politik bukannya politik kepartaian yang berorientasikan mengejar kekuasaan. Oleh sebab itu, pendukung politik tanpa parti boleh membuat pertimbangan rasional dan adil dalam menilai sesuatu perkara. Segala pertimbangan akan dilakukan berdasarkan nilai keadilan dan kebenaran bukannya meraih undi atau kepentingan parti politik.

Ketidakfahaman tentang politik dan politik kepartaian cukup membarah dipelbagai lapisan umat Melayu-Islam. Paling memilukan apabila para pemimpin parti politik dan cerdik pandai Melayu bagaikan berpesta dengan ketidakfahaman ini bagi mengaut keuntungan perut mereka. Mereka bangga memperbodohkan rakyat dengan mengapi-apikan permusuhan dan meneruskan diskriminasi-diskriminasi agar pihak bertentangan terus memusuhi mereka.

Terasa teramat malang jika kita meneropong suasana politik mahasiswa Melayu di kampus-kampus nasional yang turut terkena tempias politik dendam dan diskriminatif. Suasana permusuhan yang dilebarkan oleh budaya politik kepartaian turut menggugat suasana keintelektualan di universiti yang selama ini dianggap neutral dan berautoriti sifatnya. Kader-kader parti mula bertarung dalam pilihanraya kampus dalam suasana yang tegang. Universiti yang dilihat sebagai taman keilmuan dan diharapkan melahirkan intelek-intelek ‘insan al kamil’ telah menjadi sarang menetaskan benih-benih perpecahan ummah.

Menurut Yusof al-Qaradhawi dalam Fiqh Daulah, berbilang parti politik ini perlu berada dalam kerangka kesatuan akidah Islam dimana matlamat utama adalah menegakkan kekuasaan Ilahi tetapi perbezaan yang berlaku hanya pada persoalan pendekatan sahaja. Kekeliruan yang timbul apabila umat Melayu-Islam gagal memprofesionalkan perbezaan pendapat mereka dengan mengimport sistem berparti Barat tetapi bermentaliti dunia ketiga. Di Barat, mereka yang kalah dalam pilihanraya akur kehendak rakyat. Contohnya, Kerry calon presiden USA yang tewas mengucap taniah kepada Bush tetapi di Malaysia, pihak yang menang dicela dan pihak yang kalah didiskriminatif. Akibatnya berlaku perpecahan umat Melayu-Islam yang merugikan.

Perpecahan umat yang merugikan ini perlulah dibanteras melalui pendidikan politik yang sihat. Pertama, tranformasi pemikiran politik perlu diregenerasi, dimana rakyat haruslah dididik bahawa parti hanyalah regalia untuk menyalurkan aspirasi politik berasaskan pertentangan polisi dan pendekatan dalam pentadbiran bukannya sebagai satu cara hidup yang berpaksikan politik dalam segala aspek kehidupan.

Suasana kondusif perlu dipupuk dengan memansuhkan amalan yang bersifat diskriminatif. Keadilan dituntut dalam pembahagian bantuan subsidi, kenaikan pangkat dan pembahagian projek dibuat tanpa melihat label parti politik. Suasana kondusif dapat mengurangkan ketegangan politik dan memarginalisasikan politik dendam di kalangan ahli masyarakat.

Kedua, parti politik boleh menangani isu-isu yang memerlukan kesepakatan politik. Menurut Siddiq Fadzil, antara isu yang boleh disepakati adalah isu pelajaran, budaya dan Bahasa Melayu. Syarahan perdana tentang Palestin anjuran ABIM yang menemukan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tun Dr. Mahathir Mohammad haruslah diteruskan secara kerap agar perpaduan umat Melayu-Islam dapat dijalinkan. Kesepakatan yang termeterai boleh membawa parti-parti yang bertentangan ke arah politik persefahaman iaitu bersepakat dalam isu yang memerlukan kebersamaan.

Parti politik Melayu-Islam perlu mengamalkan prinsip politik bermoral yang berasaskan sifat mulia-bestari agar politik dakwah dapat direalisasikan. Menurut Dr. M. Hidayat Nurwahid, mantan Presiden Parti Keadilan Sejahtera Indonesia (PKS), politik dakwah dirumuskan sebagai kebijakan yang disusun dalam upaya mengendalikan dakwah Islam. Politik boleh menjadikan alat dakwah jika pemain-pemain politik mencontohi akhlak dalam urusan politik Rasulullah SAW.

Kehidupan politik Rasulullah SAW dilatari dengan kesederhanaan, keadilan, kebenaran, toleransi dan penuh dengan nilai kemanusiaan yang berakar-tunjangkan Islami haruslah ditauladani oleh pendukung parti politik. Di Indonesia, PKS melalui pemimpin utamanya seperti Abdi Sumaithi, Ketua Fraksi PKS di Majlis Permesyuaratan Rakyat dan Anton Apriyantono, Menteri Pertanian menonjolkan kesederhanaan dengan menolak peruntukan yang mewah kepada mereka oleh kerajaan.

Kegagalan Parti Refah Turki dan FIS di Algeria mengambarkan persaingan politik yang sengit boleh menghancurkan niat baik sesebuah parti politik. Perebutan kuasa akan merugikan kedua-dua parti politik yang bermusuhan. Sebagai alternatif, dianjurkan perkongsian kuasa (power sharing) diantara kerajaan dengan parti oposisi. Menurut Rached al Ghannoushi, pemimpin Parti Nahdah Tunisia menyatakan pembangkang boleh bergerak dan bekerja dalam bidang masyarakat awam seperti dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.

Penyertaan pembangkang dengan kadar kecil akan mengurangkan ketegangan politik membolehkan proses pengislahan masyarakat dilakukan secara lebih berkesan. Di Malaysia, suasana ini boleh direalisasikan kerana semua parti politik umat Melayu-Islam telah menonjolkan elemen Islami seperti Islam Hadhari, Negara Islam dan Masyarakat Madani dalam perjuangan politik mereka. Sungguh indah jika semua parti politik ini mengorak langkah dengan berpakat melaksanakan agenda umat Melayu-Islam yang dicita-citakan bersama.

Umat Melayu Islam perlu berusaha menangani isu politik dan konflik politik kepartaian mereka sebaik mungkin agar agenda umat Melayu-Islam dapat dilaksanakan dalam suasana harmonis. Parti politik Melayu-Islam wajar mengislah diri dan masyarakat dengan proses pembudayaan politik (political socialization) yang sihat, bermoral dan Islami.

Teringat pesan Pak Rendra, seniman Indonesia, “kita tidak boleh disatukan oleh masa lalu. Kita hanya boleh disatukan oleh masa depan”. Ini pengharapan tinggi kepada parti umat Melayu-Islam agar bersatu pada masa depan. Berpakatlah.

(Sumber : Ummah Online)

20060309

.: Empat Jenis Manusia Dalam Dunia :.


1. Mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati.

Mereka ini ialah orang-orang yang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang Allah dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan anggota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah.

Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah dari pengaruh mereka. Sebaliknya kamu hendaklah cuba menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan Ilmu Ketuhanan, Guru kepada yang baik, Pembimbing kepada agama Allah, Penyampai dan pengajak kepada manusia kepada jalan Allah.Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada Nabi-nabi dan Rasul.


Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada Sayyidina Ali;
"Jika Allah membimbing seseorang melalui bimbingan kamu kepadaNya, maka itu terlebih baik kepada kamu dari apa-apa sahaja di mana matahari terbit".


2. Mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati.

Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju Allah tetepi mereka sendiri lari dari Allah.Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumbang dalam maksiat itu.Mereka menunjuk kepada orang lain yang mereka itu Soleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa yang besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian.

Inilah orang yang dikatakan kepada Nabi SAW. dengan sabda:
"Yang paling aku takuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat".

Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim seperti itu. Oleh itu,larilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti itu. Jika tidak,kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manis yang bijak berbicara itu dan api dosanya itu akan membakari kamu dan kekotoran hatinya akan membunuh kamu.


3. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah.

Dia adalah seorang yang beriman.Allah telah mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka dengan tabirNya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri urusan orang ramai dan kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak. Mereka ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "DIAM" dan bekhalwat.

Nabi SAW. pernah bersabda;

"Barangsiapa yang diam akan mencapai keselamatan".


Sabda baginda lagi:

"Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian,
sembilan darinya terletak dalam diam".

Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya,dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah dan diberkati dengan keredhoan dan segala yang baik akan diberikan kepada mereka.

Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang Soleh.


4.Mereka yang diajak ke dunia tidak nampak(Alam Ghaib), diberi pakaian kemuliaan seperti dalam sabda Nabi SAW:


'Barangsiapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang yang lain, maka akan diajak ke dunia ghaib dan permuliakan".

Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir hampir kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu "Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang mengesahkan kebenaran orang lain.

Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusian dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian.

Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka. Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunanNya.


Sheikh Abdul Qadir Al-Jailan telah bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada diri kita untuk memeriksa diri sendiri jika kita mempunyai fikiran. Dan selamatkanlah diri kita jika ingin keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju kepada apa yang dikasihiNya dan diredhaiNya, dalam dunia ini dan di akhirat kelak.

Dipetik dari Kitab Futuuhul Ghaib oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani.